Magna Prima cadang ambil alih baki 30% pegangan dalam Magna Ecocity berharga RM45.58 juta | DagangNews Skip to main content

Magna Prima cadang ambil alih baki 30% pegangan dalam Magna Ecocity berharga RM45.58 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Magna Prima Berhad bercadang mengambil alih baki 30% pegangan dalam Magna Ecocity Sdn. Bhd. berharga RM45.58 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Lee Shu Shun pada Selasa untuk cadangan pemerolehan itu. Aktiviti utama Magna Ecocity ialah pembangunan hartanah.

 

Shu Shun merupakan pemegang saham minoriti Magna Prima, memegang 1.93% kepentingan dalam kumpulan itu.

 

Selepas selesai cadangan pengambilalihan itu, Magna Ecocity akan menjadi anak syarikat milik penuh Magna Prima dan ia akan dapat menyatukan pendapatan dan aset bersihnya daripada 70% sebelum ini kepada 100%.

 

Magna Prima berkata, cadangan pengambilalihan itu adalah sejajar dengan aktiviti utama pembangunan hartanah Magna Ecocity dan mewakili peluang strategik bagi kumpulan itu untuk membuka kunci nilai pelaburannya untuk manfaat pemegang saham Magna Prima.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan pada masa depan memandangkan prospek industri pembangunan hartanah yang menggalakkan, sekali gus memberikan nilai lebih baik kepada pemegang saham Magna Prima bagi jangka sederhana hingga panjang.

 

Pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman bank dan dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian.- DagangNews.com