Mah Sing di landasan tepat capai sasaran jualan RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Mah Sing di landasan tepat capai sasaran jualan RM1.1 bilion

 Mah Sing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Syarikat pemaju hartanah terkenal, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM847.1 juta untuk tempoh yang berakhir pada 30 September 2020.

 

Jumlah yang dicapai itu adalah 77% daripada sasaran penjualan yang diletakkan untuk tahun 2020 iaitu sebanyak RM1.1 bilion, meskipun operasi perniagaan berdepan kesan pandemik COVID-19.

 

Jumlah jualan kumpulannya turut didorong oleh beberapa pelancaran baharu yang disusun pada suku keempat di samping projek-projek yang dilancarkan baru-baru ini seperti M Luna dan M Adora di Wangsa Melawati.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran penjualan RM1.1 bilion pada akhir tahun kewangan syarikat.

 

"Pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah dan langkah-langkah pemilikan tanah mesra di bawah pakej rangsangan Penjana dan kadar faedah yang rendah memberi perkembangan positif kepada pasaran hartanah.

 

 Leong Hoy Kum
 Leong Hoy Kum 

 

"Kumpulan juga harus mendapat manfaat daripada pengecualian duti setem selama lima tahun untuk hartanah yang berharga di bawah RM500,000 seperti yang diperkenakan dalam Belanjawan 2021," jelas beliau.

 

Mah Sing mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM40.5 juta pada suku ketiga 2020 berbanding RM22.4 juta pada suku sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat berkenaan juga melonjak kepada RM388.2 juta untuk suku sama berbanding RM298.6 juta pada suku sebelumnya.

 

Manakala untuk tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir pada 30 September 2020, kumpulan tersebut mencatatkan jumlah keuntungan sebelum cukai sebanyak RM106 juta.

 

Dalam perancangan masa hadapan, Mah Sing membuat perancangan untuk melancarkan lebih banyak projek dalam segmen kediaman berpatutan seperti Carya di M Aruna, Rawang dan Acacia link homes di Meridin Timur, Johor dalam tempoh terakhir 2020.

 

Sebagai langkah meningkatkan prestasi kewangan jangka sederhana kumpulan, Mah Sing juga mencadangkan beberapa aktiviti utama merangkumi pembuatan dan perdangan sarung tangan dan produk kesihatan.

 

Pihaknya percaya bahawa permintaan untuk sarung tangan akan terus kukuh dalam tempoh pasca pandemik didorong oleh peratururan kesihatan yang lebih ketat dan kesedaran kebersihan yang tinggi. - DagangNews.com