Mah Sing dijangka catat keuntungan bersih RM119 juta daripada perniagaan sarung tangan | DagangNews Skip to main content

Mah Sing dijangka catat keuntungan bersih RM119 juta daripada perniagaan sarung tangan

Sarung Tangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Syarikat pengendali hartanah, Mah Sing Berhad (Mah Sing) dijangka mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM119 juta daripada perniagaan terbaharunya iaitu sarung tangan pada tahun kewangan 2021.

KAF Equities berkata, keuntungan bersih itu disandarkan kepada jangkaan pengeluaran sarung tangan yang berjumlah 2.0 bilion keping sarung tangan untuk tempoh berkenaan.

"Secara konservatifnya, kami hanya menganggap kumpulan ini akan meletakkan harga purata jualan (ASP) bernilai AS$60 per kpcs dengan anggaran AS$40 per kpcs.

"Kos perhitungan kami juga menilai kepada kehilangan masa pengeluaran pada tahun pertama operasi, harga bahan mentah yang lebih tinggi dan kos merekrut kakitangan utama yang lebih tinggi.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan keuntungan bersih bernilai RM119 juta daripada pernigaan sarung tangannya dengan jumlah pengeluaran sebanyak 2.0 bilion keping pada tahun kewangan 2021," jelas KAF Equities.

15 Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan syarikat pengendali hartanah itu akan mempelbagaikan aktiviti perniagaan utamanya termsuk pembuatan dan perdagangan sarung tangan dan produk berkaitan penjagaan kesihatan.

Baca: Mah Sing tingkatkan fokus kepada sarung tangan, selain pembinaan

Perniagaan sarung tangan itu dapat membawa Mah Sing untuk menembusi pasaran global yang dapat menambah baik prestasi jangka sederhana sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran domestik perniagaan hartanah.

Susulan itu, Mah Sing turut membuat perancangan untuk mendapatkan 12 barisan pengeluaran sarung tangan baharu bagi pengahasilan hingga 3.68 bilion keping sarung tangan dalam masa setahun.

Bagi fasa pengembangan pertama, enam barisan pengeluaran sarung tangan baharu dijangka bermula pada 21 April iaitu pada suku kedua 2021.

KAF Equities memberitahu, sumbangan keuntungan sulung daripada segmen sarung tangannya berkemungkinan akan dicatatkan pada suku kedua 2021 memandangkan pengeluaran pertama akan dilakukan pada April 2021.

Mengulas berkaitan perolehan sijil untuk mengeksport ke negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, Mah Sing memberi kepercayaan bahawa kumpulannya akan memperoleh sijil berkenaan tepat masa masanya untuk pengeluaran pertama yang dirancang pada April 2021.

"Secara keseluruhan, kami meningkatkan jangkaan pendapatan Mah Sing bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 65% (sebelum kekal pembayaran) dan 103% (selepas kekal pembayaran).

"Oleh itu, harga sasaran sesaham (TP) kami lebih tinggi sebanyak RM1.45 berbanding RM1.10 pada sebelumnya dengan penarafan 'beli' saham syarikat berkenaan," jelas KAF Equities lagi. - DagangNews.com