Mah Sing mahu mulakan pengeluaran sarung tangan getah April 2021 | DagangNews Skip to main content

Mah Sing mahu mulakan pengeluaran sarung tangan getah April 2021


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) menyasarkan untuk memulakan pengeluaran sarung tangan getah pada April 2021 apabila kilangnya di Kapar, Klang selesai menjalankan kerja-kerja pemasangan menjelang November ini. 

Ia bagi menempatkan 12 unit mesin mencelup sarung tangan berkelajuan tinggi supaya dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat. 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, mesin tersebut dapat memenuhi kapasiti sehingga 38,000 keping sarung tangan setiap pengeluaran per jam. 

Katanya, kilang itu juga juga sudah mendapatkan bekalan Nitrile-butadiene dan bahan mentah lateks untuk memenuhi permintaan pelanggan. 

"Seperti mana kami melaksanakan pelan pemulihan yang pantas terhadap model perniagaan dalam pembangunan hartanah, kami juga mahu bergerak pantas dalam segmen baharu ini. 

"Malah, kilang kami yang pertama sudah bersedia dan mampu menampung mesin berkelajuan tinggi yang serba moden," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kerja-kerja pemasangan sedang dijalankan di kilang pengeluaran sarung tangan getah Mah Sing di Kapar, Klang.
Kerja-kerja pemasangan sedang dijalankan di kilang pengeluaran sarung tangan getah Mah Sing di Kapar, Klang.  
 

Syarikat itu sebelum ini menyasarkan fasa 1 bagi 12 laluan pengeluaran baharu dapat mencapai kapasiti maksimum sehingga 3.68 bilion sarung tangan getah setahun.  

Mah Sing mempunyai pengalaman 40 tahun dalam pengeluaran plastik yang dieksport ke 45 buah negara dan kemudahan kilang dengan keluasan 228,800 kaki per segi itu dapat membantu syarikat memasuki segmen pembuatan sarung tangan getah.  

Perniagaan sektor baharu tersebut diuruskan Mah Sing Healthcare yang juga merupakan anak syarikat Mah Sing Plastics Industries Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Mah Sing.

Malah, syarikat itu juga merancang untuk memperluas kilang dengan keluasan 287,500 kaki persegi bagi menambah 12 lagi barisan pengeluaran dan meningkatkan kapasiti sehingga 3.68 bilion sarung tangan lagi dalam fasa kedua. - DagangNews.com