Mahadhir dilantik sebagai CEO Malaysia Digital Economy Corporation | DagangNews Skip to main content

Mahadhir dilantik sebagai CEO Malaysia Digital Economy Corporation

CYBERJAYA 1 Sept - Lembaga Pengarah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi yang menerajui transformasi negara, mengumumkan pelantikan Ts Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

 

Sebelum pelantikan ini, Mahadhir Aziz adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise sejak ia ditubuhkan pada 2017. Futurise, anak syarikat Cyberview sepenuhnya, merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk mengawal selia Sandbox Negara (National Regulatory Sandbox (NRS). Pada Mac 2020, Mahadhir dipilih sebagai ahli pengasas Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan.

 

Sebagai peneraju industri yang dikenali, Mahadhir mempunyai rekod cemerlang lebih 20 tahun dalam pelbagai industri seperti Perkhidmatan Kewangan, Tenaga (Minyak dan Gas), Teknologi Maklumat dan Media, serta pernah berkhidmat di organisasi tempatan dan global seperti Deloitte Consulting, Kodak, Petronas dan AmInvestment Bank.

 

Mahadhir berkata, beliau berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui MDEC, yang ketika ini sedang meraikan ulang tahun jubli perak dan 25 tahun dalam memacu pertumbuhan sektor ICT dan ekonomi digital negara.

 

''Saya bersedia untuk mengukuhkan lagi asas MDEC dan misi 'Reinvent' (cipta semula) sebelum ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan yang berpengalaman di sini, dalam merealisasikan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

 

''Fokus kini tertumpu ke arah pelaksanaan, pengembangan pelaburan dan penyampaian manfaat ekonomi digital kepada Rakyat. Objektifnya sangat jelas – untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju digital dan Nadi Digital ASEAN," kata Mahadhir dalam kenyataan di sini.

 

Berdasarkan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Kewangan, Mahadhir berkata, "Agenda pertama saya adalah untuk mengukuhkan peranan MDEC dalam merangka dasar ekonomi digital negara serta memacu impaknya secara keseluruhan.

 

Ini termasuk menilai semula cara kami beroperasi berdasarkan rangka kerja tadbir urus dalam memastikan program dan geran sampai kepada penerima yang disasarkan. Selain itu, menyokong ekosistem dengan meningkatkan kecekapan operasi akan menjadi faktor penting dalam kejayaan ekonomi digital kami."

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Mahadhir merupakan pemimpin yang disegani dan telah terbukti dalam memberikan impak penting terhadap organisasi terdahulu yang dipimpinnya.

 

''Berbekalkan latar belakang yang kuat dalam bidang teknologi dan digital, serta rekod prestasi cemerlang beliau, saya yakin beliau akan menerajui MDEC dalam memacu ekonomi digital negara, selari dengan aspirasi dalam memastikan kita terus menyediakan peluang digital yang adil dan saksama kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan, menepati agenda Malaysia 5.0,” katanya. - DagangNews.com