Mahasiswa UPM anjur Kem Jati Diri beri pendedahan pembelajaran universiti untuk pelajar SPM di Pontian | DagangNews Skip to main content

Mahasiswa UPM anjur Kem Jati Diri beri pendedahan pembelajaran universiti untuk pelajar SPM di Pontian

Seramai 30 pelajar sekolah menengah di sekitar Mukim Rimba Terjun, Pontian, Johor menyertai Kem Jati Diri anjuran mahasiswa UPM, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Kem Jati Diri untuk pelajar sekolah menengah terpilih bagi memberi tumpuan kepada modul pengenalan program Asasi Sains Pertanian dan pendedahan pembelajaran di universiti.

 

Program itu juga bertujuan membentuk sahsiah pelajar dengan menyasarkan pembabitan 30 pelajar sekolah menengah di sekitar Mukim Rimba Terjun, Pontian, Johor. 

 

Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Prof Madya Ir Dr Ahmad Shukri berkata, program itu dapat membantu memberi pendedahan kepada pelajar SPM bagi membentuk kepimpinan muda pelapis yang bertanggungjawab dan berketerampilan.

 

Katanya, ia selaras dengan hala tuju kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi masyarakat berilmu dan berbakat pada masa akan datang. 

 

"Diharapkan program ini dapat membantu memberi pendedahan kepada pelajar bagi meningkatkan keyakinan dan minat dalam pelajaran sehingga melanjutkan pengajian lebih tinggi lagi. 

 

"Melalui modul yang disediakan dapat meningkatkan kesedaran dan motivasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mempertingkatkan tahap pencapaian melalui jati diri yang utuh di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat. 

 

"Selain itu, program ini dapat membantu pelajar memahami dan mengenalpasti bidang pelajaran yang sesuai dengan minat dan bakat mereka. Dalam konteks ini, pentingnya keseimbangan antara kurikulum  juga ditekankan sebagai aspek utama pembangunan holistik pelajar," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

UPM

 

 

Menurut kenyataan itu, keberkesanan dan impak daripada program siri pertama dapat dilihat seramai 14 pelajar daripada 16 pelajar yang mengambil SPM tahun 2023 melanjutkan pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan sijil kemahiran. 

 

Katanya, ia menunjukkan program itu bukan hanya memberikan pendedahan tetapi juga memberikan inspirasi dan bimbingan untuk membuat keputusan yang bijak mengenai langkah seterusnya dalam pendidikan mereka.

 

 

UPM

 

 

UPM

 

 

"Kerjasama KTAG dan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sungai Bunyi, Mukim Rimba Terjun, Pontian dalam siri kedua program ini menyokong pelajar dalam merangka langkah seterusnya dalam pendidikan mereka," katanya. 

 

Katanya, Program Kem Jati Diri Pelajar di KTAG boleh dianggap sebagai satu kejayaan dalam membangunkan bakat dan potensi pelajar, mencipta peluang pengajian yang lebih tinggi serta membentuk individu yang seimbang dalam aspek akademik dan pembangunan diri. - DagangNews.com