MAHB hampir muktamad perjanjian operasi baharu dengan kerajaan | DagangNews Skip to main content

MAHB hampir muktamad perjanjian operasi baharu dengan kerajaan

KUALA LUMPUR 2 Jun - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian operasi (OA) baharu dengan kerajaan.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pengendali lapangan terbang itu bekerja keras untuk memuktamadkan perjanjian terbabit dan berharap akan selesai secepat mungkin.

 

"Kami berada di penghujung untuk memuktamadkan OA serta perjanjian pajakan tanah. Setakat ini, saya hanya boleh membuat kenyataan umum mengenai perkara ini, iaitu kami pastinya berharap OA baharu itu akan dapat memberikan kami kelebihan kepada pemegang saham," katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAHB, hari ini seperti dilapor Berita Harian.

 

MAHB dalam laporan sebelum ini menyifatkan empat perjanjian OA baharu dengan kerajaan akan memberikan lebih banyak fleksibiliti kepadanya untuk membuat keputusan pelaburan.

 

Apabila dimeterai kelak, OA baharu itu akan menggantikan dua OA sedia ada yang telah dimeterai pada 12 Februari 2019.

 

Mengenai tinjauan prestasi MAHB bagi 2022, Iskandar Mizal berkata, pengendali lapangan terbang itu berada dalam trajektori pemulihan yang kukuh sejajar dengan peningkatan ketara dalam jumlah penumpang perjalanan udara susulan pembukaan sempadan antarabangsa.

 

Beliau berkata, MAHB akan terus memberi tumpuan dalam memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dan pada sama memastikan perniagaan berkaitan aeronautikal dan bukan aeronautikal terus mantap pada masa depan.

 

Katanya, warga MAHB komited untuk memulihkan prestasi kumpulan untuk kembali untung selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

 

"Peningkatan ketara dalam pergerakan penumpang memberi petunjuk trakjektori yang jelas ke arah pemulihan. Kami juga mencatatkan pengurangan kos teras yang sangat ketara," katanya.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, MAHB berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM104.76 juta berbanding kerugian RM221.3 juta pada suku sama 2021, disokong kemajuan dalam jumlah penumpang.

 

Ia mencatatkan pendapatan RM570.85 juta, meningkat 69.4% berbanding RM336.91 juta susulan peningkatan ketara dalam jumlah penumpang membabitkan lapangan terbang yang dikendalikannya di Malaysia dan Turki.

 

Pergerakan trafik antarabangsa di semua rangkaian lapangan terbang tempatan milik MAHB meningkat 53% kepada 642,128 penumpang selepas sempadan dibuka semula pada 1 April lalu.

 

Sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa, MAHB merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari, dengan jumlah memuncak melebihi 30,000 pergerakan penumpang ketika cuti panjang Hari Raya Aidilfitri.

 

Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan sejumlah 642,128 pergerakan penumpang antarabangsa, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) mencatatkan peningkatan paling ketara, masing-masing melebihi 200%. - DagangNews.com