KUALA LUMPUR 7 Dis - Malaysia Airports (MAHB) memperkasakan lagi tahap kesiapsiagaan lapangan terbang menghadapi bencana udara menerusi pentauliahan seramai 57 orang pegawai dan anggota baharu Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).
MAHB dalam satu kenyataan berkata, pentauliahan itu diadakan sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas atau Passing Out Parade (POP) siri ke-11 hari ini.
Menurutnya, penubuhan AFRS adalah bagi mematuhi keperluan Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016, Civil Aviation Directive 14 Vol selaras dengan Standard and Recommended Practices (SARPs) yang dikeluarkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Ia menetapkan kewujudan mandatori sumber manusia serta aset menyelamat dan memadam kebakaran di sesebuah kawasan aerodrom yang mengoperasi pesawat awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, majlis tersebut menyaksikan seramai 9 kadet ditauliahkan sebagai pegawai AFRS, manakala seramai 48 rekrut lain ditauliahkan sebagai anggota AFRS.
Menurut kenyataan itu, sehingga Disember 2022, pasukan AFRS Malaysia Airports mempunyai kekuatan seramai hampir 800 anggota di kesemua 39 lapangan terbang kendaliannya di seluruh Malaysia.
"Kesemua pelatih pegawai dan anggota AFRS ini dikehendaki melalui latihan intensif bukan sahaja dari sudut fizikal, malah diuji dari sudut intelektual sepanjang tempoh empat bulan setengah latihan setelah proses temuduga terbuka, saringan dan pemilihan dijalankan," katanya.
Katanya, bagi tujuan tersebut, para pelatih telah didedahkan kepada modul-modul seperti kawad kaki dan kebombaan, pembiasaan pesawat dan lapangan terbang, alat pernafasan dan peralatan perlindungan diri dan komunikasi kecemasan.
"Ia termasuk, memadam kebakaran pesawat dan bangunan, penyelamatan dan pengurusan mangsa, pengoperasian jentera bomba, keselamatan kebakaran bangunan, pengendalian bahan merbahaya (HAZMAT) serta pelan kecemasan aerodrom," katanya.
Pemeriksaan perbarisan disempurnakan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Mohd Arif Jaafar dan Pengurus Besar AFRS, Muhammad Hidayat Ismail. - DagangNews.com