MAHB raih untung sebelum cukai suku kedua RM159.5 juta, meningkat 19.1% | DagangNews Skip to main content

MAHB raih untung sebelum cukai suku kedua RM159.5 juta, meningkat 19.1%

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA). -Gambar MAHB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meraih untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM159.5 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), peningkatan 19.1% daripada RM133.9 juta dalam suku tahun yang sama tahun lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, peningkatan ini disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi dan sumbangan keuntungan yang lebih baik daripada syarikat-syarikat bersekutu dan usaha sama. 

 

"Pendapatan Kumpulan untuk suku tahun semasa meningkat sebanyak 11.9% berbanding suku tahun yang sama tahun lalu kepada RM1.37 bilion. 

 

"Pertumbuhan ini didorong jumlah penumpang lebih tinggi hasil operasi syarikat penerbangan baru, syarikat penerbangan yang menyambung semula laluan dan memperkenalkan perkhidmatan baru, dasar bebas visa 30 hari untuk pengembara China dan India ke Malaysia, penghantaran pesawat baru dan musim Haji," katanya hari ini.

 

Sementara itu, kata MAHB, hasil daripada operasi lapangan terbang meningkat sebanyak 12.4% daripada RM1.155 bilion kepada RM1.298 bilion. 

 

Jelasnya, pendapatan segmen aeronautik pula meningkat daripada RM696.7 juta kepada RM758.8 juta berbanding suku tahun yang sama tahun lalu. 

 

mahb

 

"Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan trafik, dengan jumlah penumpang Kumpulan mencapai 33.7 juta berbanding 29.3 juta penumpang pada suku tahun yang sama tahun lalu. 

 

"Trafik penumpang untuk operasi Malaysia meningkat kepada 23.2 juta daripada 20.2 juta dalam suku tahun yang sama. 

 

"Hasil daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat sebanyak 5.0% atau RM3.8 juta daripada RM76.6 juta kepada RM80.4 juta akibat peningkatan hasil dari perniagaan hotel dan pertanian," jelasnya.

 

Melihat ke hadapan , MAHB menjangkakan pertumbuhan lebih lanjut, dengan trafik penumpang dijangka mendekati tahap sebelum pandemik. 

 

Katanya, di peringkat tempatan, pelonggaran syarat visa telah meningkatkan ketibaan penumpang secara ketara, terutamanya dari pasaran utama seperti China dan India. 

 

Menurutnya, MAHB terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan pengalaman penumpang dan mempermudah ketibaan seperti peluasan kemudahan eGate untuk pengembara dari 63 negara, termasuk China dan India.

 

"Tambahan pula, usaha berterusan untuk menarik syarikat penerbangan dan laluan baru, bersama dengan penyambungan semula perkhidmatan oleh pengendali sedia ada, dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan penumpang. 

 

"Fokus strategik dalam meningkatkan infrastruktur, memperbaiki kecekapan operasi, dan menawarkan perkhidmatan penumpang yang tinggi meletakkan Lapangan Terbang Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan perjalanan udara yang dijangka.

 

"Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga baru-baru ini telah mewartakan Caj Perkhidmatan Penerbangan baru untuk Jun 2024 hingga Disember 2026, dengan Mekanisme Kapitalisasi Kerugian tambahan yang disematkan, memastikan pemulihan kos yang lebih baik dalam menjalankan rangkaian lapangan terbang," ujarnya.- DagangNews.com