Mahkamah Rayuan tolak rayuan Dato’ Sreesanthan atas kesalahan Insider Trading saham Worldwide Holdings | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Dato’ Sreesanthan atas kesalahan Insider Trading saham Worldwide Holdings

Dato’ Sreesanthan Eliathamby

KUALA LUMPUR 6 Sept - Mahkamah Rayuan semalam, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada November 2020 yang mendapati Dato’ Sreesanthan Eliathamby telah terlibat dalam perdagangan orang dalam (insider trading) saham Worldwide Holdings Berhad pada 2006.

 

Dato’ Sreesanthan memperoleh sejumlah 600,000 saham Worldwide antara 7 Jun dan 11 Julai 2006 semasa memiliki maklumat material bukan awam berkaitan cadangan
penswastaan ​​Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

 

Pada masa itu, Dato’ Sreesanthan adalah rakan kongsi kanan dalam sebuah firma guaman yang bertindak sebagai penasihat undang-undang bagi cadangan  penswastaan ​​Worldwide.

 

Dalam menolak rayuan Dato’ Sreesanthan, Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati tidak wujud merit dalam rayuan dan mengesahkan penghakiman Mahkamah Tinggi serta memerintahkan Dato’ Sreesanthan akan membayar kos RM50,000 kepada SC.

 

"Penghakiman Mahkamah Tinggi memerintahkan Dato' Sreesanthan membayar SC sebanyak RM1.99 juta, iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada dagangan orang dalam," kata SC.

 

Selain itu, beliau juga diperintahkan untuk membayar kepada SC penalti sivil sebanyak RM1 juta dan dihalang daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama 10 tahun bermula dari 18 November 2020. - DagangNews.com