Mahkamah Tinggi ketepikan taksiran cukai hampir RM4 bilion ke atas TNB dari 2015-2017 | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi ketepikan taksiran cukai hampir RM4 bilion ke atas TNB dari 2015-2017

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Mahkamah Tinggi (bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) pada Selasa (22 Ogos) membenarkan permohonan semakan kehakiman Tenaga Nasional Bhd untuk mengetepikan RM3.977 bilion dalam taksiran cukai bagi tahun 2015 hingga 2017.

 

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersetuju dengan hujah TNB bahawa ia menjalankan perniagaan pembuatan elektrik dan oleh itu berhak menuntut elaun pelaburan semula ke atas perbelanjaan modal yang ditanggungnya, termasuk untuk tiga tahun taksiran, untuk mengembangkan, memodenkan dan mengautomasikan perniagaannya.

 

Difahamkan ini adalah antara pertikaian cukai terbesar yang diputuskan oleh mahkamah, menurut The Edge.

 

Syarikat tenaga itu juga berjaya dalam permohonan semakan kehakimannya pada Februari tahun lepas untuk mengetepikan taksiran cukai sebanyak RM1.812 bilion daripada LHDN untuk 2018, bagi peruntukan elaun pelaburan semula yang sama.

 

TNB memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar taksiran RM3.977 bilion pada Disember 2019, dan memperoleh kebenaran pada Mei 2020 agar merit permohonannya didengar.

 

Dalam prosiding semakan kehakiman, kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum merit penuh kes dibicarakan. Ini bagi memastikan permohonan yang difailkan tidak remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.


 

tnb

 


TNB, dalam permohonannya, memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis taksiran tambahan bagi 2015, 2016 dan 2017, dan supaya keputusan itu dianggap tidak sah, terbatal, menyalahi undang-undang dan melebihi kuasa, tidak rasional dan tidak munasabah.

 

Tambahan pula, ia mahukan pengisytiharan bahawa ia berhak menuntut elaun pelaburan semula di bawah Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan, untuk tahun 2015, 2016 dan 2017.

 

Jadual 7A menetapkan bahawa syarikat pemastautin Malaysia, yang telah beroperasi tidak kurang daripada 12 bulan dan telah melakukan perbelanjaan modal ke atas kilang, loji atau jentera hendaklah diberi untuk tahun taksiran itu elaun pelaburan semula sebanyak 60% daripada perbelanjaan itu.

 

TNB diwakili oleh S Saravana Kumar dan Nur Amira Azhar daripada Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, manakala Ashrina Ramzan Ali mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri.

 

LHDN telah mengeluarkan notis bertarikh 28 November 2019 yang menyatakan bahawa TNB berhutang cukai tambahan sebanyak RM1.429 bilion untuk 2015; RM1.245 bilion untuk 2016 dan RM1.302 bilion untuk 2017, menyebabkan kes ini dibicarakan.  - DagangNews.com