Mahkamah Tinggi lepas, bebas Muhyiddin daripada 4 pertuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi lepas, bebas Muhyiddin daripada 4 pertuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta

Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Astro AWANI/Shahir Omar
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

 

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.

 

Beliau berkata, pertuduhan yang dibawa oleh pihak pendakwa raya tidak mendedahkan sebarang kesalahan dengan jelas.

 

"Pertuduhan itu rosak dan saya menggunakan kuasa saya untuk membatalkan pertuduhan kerana terdapat penyalahgunaan proses," katanya.

 

Pada 18 April lalu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

 

muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) membuat sidang akhbar di perkarangan Mahkamah Tinggi, hari ini.

 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

 

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

 

Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

 

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta. 

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau menyedari sejak dari awal bahawa tuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah berasaskan politik dan hakim telah membuktikan bahawa tuduhan itu tidak menepati mana-mana peruntukan undang-undang.

 

Beliau berkata, segala pertuduhan itu adalah tidak betul selain menyalahi undang-undang dan atas dasar itu permohonan untuk mebatalkan pertuduhan itu.

 

"Saya tidak membuat apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan hakim telah membuktikannya.

 

"Ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan ia adalah tuduhan palsu," katanya. - DagangNews.com