Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dhaya Maju LTAT kenakan injuksi terhadap kerajaan | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dhaya Maju LTAT kenakan injuksi terhadap kerajaan

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Mahkamah Tinggi menolak permohonan syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd untuk mengenakan injuksi terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong daripada menamatkan kontraknya bagi projek pembinaan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). 

Keputusan itu dibuat walaupun syarikat itu sudah menyiapkan 24% projek berkenaan dan kerajaan sudah juga membuat pembayaran sebanyak RM93 juta, menurut laporan The Edge Market hari ini.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak boleh menghalang atau mengenakan sebarang injuksi terhadap kerajaan atau pegawai kerajaan daripada melaksanakan tugas mereka.

Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lim Kit Siang kekal sebagai satu kes contoh tidak dibenarkan injunksi dikenakan ke atas kerajaan. 

Oleh itu, beliau tidak membenarkan permohonan injunksi interim dan menolak permohonan tersebut. Hakim Aliza mengarahkan syarikat berkenaan membayar kos mahkamah sebanyak RM10,000.

Menurut The Edge Market, peguam Dhaya Maju LTAT, Tan Sri Cecil Abraham menyatakan pihaknya akan mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah tersebut dan bakal memfailkan injunksi Erinford.

Pihak yang merayu ke atas keputusan mahkamah dibolehkan memohon injunksi Erinford, bertujuan menghalang pihak lain daripada menguruskan tindakan perundangan sehinggalah rayuan itu tamat.

Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap Wee dan kerajaan susulan kenyataan menteri pada 28 Ogos lalu, bahawa kerajaan akan melaksanakan tender baharu bagi projek tersebut.

Keputusan itu disebabkan Dhaya Maju LTAT memperoleh projek itu pada harga yang rendah melambung tinggi, hasil rundingan terus dengan kerajaan Pakatan Harapan. 
 

aaa
   Mohamed Razeek

Menurut The Edge Market, turut hadir di mahkamah hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dhaya Maju LTAT, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain Maricar. 

Hakim Aliza menetapkan 19 Oktober ini bagi pengurusan kes. - DagangNews.com