MainStreet Advisers nasihatkan pemegang saham Rexit tolak tawaran pengambilalihan - tidak adil, tidak munasabah | DagangNews Skip to main content

MainStreet Advisers nasihatkan pemegang saham Rexit tolak tawaran pengambilalihan - tidak adil, tidak munasabah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Penasihat bebas, MainStreet Advisers Sdn Bhd menyifatkan tawaran pengambilalihan Rexit Bhd oleh pemegang saham utamanya adalah 'tidak adil' dan 'tidak munasabah'.

 

Pemegang saham dinasihat untuk menolak tawaran itu, kata MainStreet dalam pekeliling yang disiarkan kepada Bursa Malaysia.

 

Harga tawaran 85 sen sesaham adalah diskaun kepada anggaran penilaian Rexit manakala penawar bersama juga berhasrat mengekalkan status penyenaraian, kata firma itu.

 

"Kami berpendapat bahawa tawaran itu tidak adil dan tidak munasabah. Oleh itu, kami mengesyorkan agar pemegang saham untuk menolak tawaran itu," kata MainStreet, hari ini.

 

Pada 17 Februari, Datuk Seow Gim Shen, Metaco Assets Holdings Sdn Bhd dan Bemas Holdings Sdn Bhd melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat rasmi untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam Rexit pada 85 sen sesaham.

 

Tawaran itu dibuat selepas ketiga-tiga pihak itu muncul sebagai pemegang saham utama baharu Rexit pada 17 Januari, dengan memperoleh agregat 92.27 juta saham atau 53.27% kepentingan dalam kumpulan itu dengan jumlah pertimbangan tunai RM78.43 juta.

 

Harga tawaran 85 sen itu mewakili diskaun antara 2.8 sen dan 8.4 sen, atau kira-kira 3.19% hingga 8.99%, kepada nilai anggaran sesaham Rexit antara 87.8 sen hingga 93.4 sen berdasarkan aliran tunai diskaun, menurut MainStreet.

 

Selanjutnya, harga tawaran juga adalah pada diskaun antara 1.85 sen hingga tujuh sen, bersamaan 2.13% hingga 7.61%, kepada harga pasaran urus niaga terakhir saham Rexit pada hari dagangan terakhir.

 

Penawar bersama sedang berusaha untuk mengekalkan status penyenaraian Rexit di Pasaran ACE, Bursa Securities dan tidak bercadang untuk menggunakan peruntukan Subseksyen 222(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

"Walaupun saham Rexit 'agak tidak cair', pemegang saham masih boleh berdagang saham Rexit walaupun selepas tarikh tutup dan akan mempunyai peluang untuk merealisasikan pelaburan mereka dalam saham Rexit dalam pasaran terbuka," kata MainStreet.

 

Rexit, yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada tahun 2005, menyediakan perisian kepada industri insurans dan perkhidmatan kewangan. 

 

Ia menawarkan pelbagai perkhidmatan IT dan berkaitan, termasuk pemprosesan bahagian belakang, sistem transaksi dalam talian dan penyepaduan aliran kerja.

 

Antara tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 (FY20) dan FY23, keuntungan Rexit meningkat secara berterusan daripada kira-kira RM9.52 juta kepada kira-kira RM11.1 juta, yang dijana daripada hasil tahunan antara RM25.06 juta dan RM26.74 juta. Dalam tempoh yang sama, margin bersihnya berjulat antara 36% dan 42%. - DagangNews.com