Majikan boleh mula buat tempahan slot kuarantin untuk pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Majikan boleh mula buat tempahan slot kuarantin untuk pekerja asing

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kementerian Sumber Manusia majikan boleh membuat tempahan slot kuarantin pekerja asing yang akan masuk ke Malaysia mulai bulan ini.

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tempahan tersebut boleh dibuat menerusi platform Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) di www.fwcms.com.my bagi pekerja yang lulus pemeriksaan kesihatan dan dikeluarkan Visa dengan Rujukan (VDR).

 

Beliau berkata, buat masa sekarang, lokasi pusat kuarantin adalah terhad dan berada di sekitar Lembah Klang merangkumi hotel-hotel seperti yang terdapat dalam senarai pusat kuarantin swasta yang telah diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

 

"Anggaran bagi kos kuarantin adalah antara RM2,000 dan RM3,000 yang merangkumi penyediaan penginapan, makan dan minum (3 kali sehari), pengangkutan ke pusat kuarantin serta ujian saringan COVID-19 semasa dalam tempoh kuarantin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Permohonan bagi penggajian pekerja warga asing telah dibuka secara dalam talian mulai 15 Februari 2022. 

 

Sehingga 1 Mac 2022, sejumlah 171,133 permohonan telah diterima  membabitkan sektor perkilangan (118,967), perkhidmatan (21,040), perladangan (15,787), pembinaan (12,252) serta pertanian (3,087). - DagangNews.com