Keuntungan bersih Ancom Nylex menurun 31% pada suku kedua 2024 berikutan kos pengangkutan tinggi dan kadar pertukaran asing | DagangNews Skip to main content

Keuntungan bersih Ancom Nylex menurun 31% pada suku kedua 2024 berikutan kos pengangkutan tinggi dan kadar pertukaran asing

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Jan - Ancom Nylex Bhd (Ancom Nylex) melaporkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 31% untuk suku kedua berakhir 30 November 2024 (2QFY2025) kepada RM15.16 juta, berbanding RM22.12 juta pada 2023, berikutan kos pengangkutan yang tinggi dan turun naik kadar pertukaran asing yang menjejaskan margin keuntungan kasar.

 

Namun, penurunan itu diimbangi dengan keuntungan yang lebih tinggi dalam segmen logistik dan polimer.

 

Keuntungan suku tahunan yang lebih rendah menyebabkan pendapatan setiap saham menurun kepada 1.26 sen untuk 2QFY2025, berbanding 2.33 sen pada 2QFY2024.

 

Pendapatan untuk 2QFY2025 menurun 11% kepada RM450.71 juta, berbanding RM505.16 juta pada 2QFY2024, sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah dari segmen kimia industri ekoran penurunan harga dan pesanan.

 

Tiada dividen dicadangkan atau disarankan untuk suku kewangan terkini.

 

Keuntungan suku tahunan yang lemah turut menyebabkan keuntungan bersih untuk separuh pertama berakhir 30 November 2024 (1HFY2025) merosot sebanyak 34% kepada RM28.37 juta, berbanding RM42.92 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan turut menurun 3% kepada RM966.25 juta berbanding RM992.52 juta dalam tempoh yang sama.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Nylex, Datuk Lee Cheun Wei berkata, syarikat turut menerima kesan makroekonomi pada 1HFY2025, namun kos pengangkutan kini menunjukkan penurunan dan pergerakan kadar pertukaran asing telah sedikit stabil.

 

"Lebih penting lagi, jumlah jualan untuk segmen kimia pertanian kami adalah sihat dan kami menjangkakan permintaan ini akan berterusan pada suku-suku akan datang, seiring dengan prospek yang lebih cerah untuk 2HFY2025.

 

"Secara berasingan, kedudukan kewangan kami semakin baik sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan penyata kewangan. Ini memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada kami dan mungkin peluang untuk penggabungan dan pemerolehan lain," katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, nisbah antara hutang bersih syarikat dengan ekuiti pemegang saham kumpulan meningkat kepada 0.13 kali pada hujung November 2024, berbanding 0.44 kali pada hujung Ogos 2024. 

 

Jumlah pinjaman telah dikurangkan kepada RM248.9 juta berbanding RM360 juta dalam tempoh yang sama.

 

Dalam pengisytiharan berasingan dengan Bursa Malaysia, Ancom Nylex menyatakan, rangkaian bekalan kini sedang diubah suai kerana pengeluar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko geopolitik, yang sering menyebabkan kos yang lebih tinggi.

 

"Konflik di Asia Barat telah menyebabkan perubahan dalam laluan perdagangan laut, sementara permintaan yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan dan cuaca juga telah meningkatkan kos penghantaran, menambah masa penghantaran dan menyukarkan perjalanan. 

 

"Faktor-faktor ini mungkin memberi kesan kepada perniagaan kumpulan untuk baki tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 (FY2025)," kata syarikat itu.

 

Bagaimanapun, syarikat berkata, ia akan terus berwaspada dalam menguruskan risiko tersebut dan terus meneroka serta mengembangkan peluang bagi perniagaan mereka.

 

"Kumpulan dijangka dapat mencapai prestasi yang memuaskan untuk baki tahun kewangan ini jika tiada sebarang isu besar," tambahnya.

 

Saham Ancom Nylex ditutup tidak berubah pada 99.5 sen semalam, memberikan ia modal pasaran sebanyak RM1.16 bilion. 

 

Saham tersebut jatuh 7% dalam tempoh setahun yang lalu. - DagangNews.com