Majlis Air Negara setuju laksanakan Transformasi Sektor Air 2040 bagi menjamin kelestarian air negara - PM | DagangNews Skip to main content

Majlis Air Negara setuju laksanakan Transformasi Sektor Air 2040 bagi menjamin kelestarian air negara - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Air Negara, hari ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Majlis Air Negara (MAN) bersetuju untuk melaksanakan Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040) bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air negara. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Transformasi Sektor Air 2040 itu merupakan antara tiga kertas pertimbangan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat tersebut. 

 

Beliau berkata, pelan transformasi itu akan dilaksanakan di pelbagai peringkat melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan WST2040. 

 

"Agenda Transformasi Sektor Air 2040 menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air. 

 

"Selain itu pelan berkenaan juga dilaksana bagi menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara," katanya dalam kenyataan satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MAN, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, MAN juga mengiktiraf perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air. 

 

pm

 

Beliau berkata, makmal itu akan berfungsi sebagai pusat rujukan dalam menyelidik kejadian pencemaran badan air. 

 

Ismail Sabri berkata, makmal tersebut yang telah mendapat akreditasi MS ISO:IEC 17025 boleh menjadi alternatif kepada makmal Jabatan Kimia bagi forensik penyelidikan pencemaran air. 

 

"Makmal Kualiti Air dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dengan kepakaran yang kompeten dan diiktiraf Institut Kimia Malaysia serta Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia. 

 

"Ia juga berkemampuan membuat analisa berkaitan pencemaran air merangkumi lebih 200 parameter kimia dan mikrobiologi," katanya.

 

pm

 

Perdana Menteri berkata, MAN juga akan mengadakan perkongsian Peta Hazard Banjir (Flood Hazard Map) kepada orang ramai bagi menunjukkan kawasan kebarangkalian yang boleh dinaiki air berdasarkan peta guna tanah semasa dan akan datang. 

 

Beliau berkata, amalan perkongsian peta hazard banjir turut dilaksanakan oleh negara lain seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. 

 

"Perkongsian peta ini membantu pihak berkepentingan dalam perancangan pembangunan seperti Rancangan Tempatan Daerah atau Rancangan Struktur Negeri serta perancangan pengurusan bencana banjir.

 

"MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara," katanya. - DagangNews.com