SERDANG 15 Mei – Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) telah menganjurkan Majlis Mesra Alumni 2024 sebagai usaha untuk terus memperkasa hubungan strategik antara alumni UPM, di sini pada Selasa.
Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad berkata, majlis yang dihadiri oleh 200 orang alumni UPM dan rakan strategik ARCUPM, menjadi platform interaktif bagi membolehkan alumni terlibat secara aktif dalam menyumbangkan idea dan tenaga untuk meningkatkan kecemerlangan UPM dan pelajarnya.
“Tema kita pada tahun 2024 ialah ‘Alumni UPM Berilmu Berbakti’ dan bagi menzahirkan matlamat ini penglibatan daripada para alumni UPM sangat diperlukan. Saya amat berbesar hati melihat sambutan dan komitmen yang telah diberikan oleh kesemua alumni yang hadir pada hari ini.
“Majlis ini juga secara tidak langsung membina hubungan alumni UPM yang lebih kukuh, berterusan, dan memberi kesan positif kepada perkembangan dan kecemerlangan universiti kebanggaan kita,” katanya.
Tambahnya lagi, penglibatan alumni juga dapat memberi sumbangan semula kepada alma mater menerusi pelbagai bentuk dan saluran. Matlamat bagi 2024, hubungan yang lebih erat bersama alumni akan terus diperkukuhkan dalam usaha untuk terus membina sinergi bersama alumni di luar sana.
Hubungan yang kukuh bersama alumni akan terus memberi manfaat kepada universiti terutamanya pelajar untuk mereka juga membina kejayaan seperti alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.
Tidak dinafikan alumni merupakan sosok yang paling hampir dengan pelajar. Pelajar menjadikan setiap kejayaan alumni sebagai sumber inspirasi untuk menerusikan legasi kejayaan Universiti. Untuk itu, peranan alumni sangat dituntut dan dialu-alukan untuk kembali berbakti kepada universiti untuk bersama-sama membina bangsa yang cemerlang bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga pada peringkat antarabangsa.
Turut hadir pada majlis ini, Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato' Raihan Sharif, yang turut menzahirkan komitmen untuk terus membantu memajukan UPM melalui hubungan yang telah terjalin sejak dahulu lagi.
Majlis yang berlangsung di Auditorium Rashdan Baba, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah dihadiri hampir 200 orang alumni UPM. Jumlah ini termasuk alumni yang bekerja di UPM dan juga alumni UPM daripada lapangan atau pun industri.
Acara yang diadakan saban tahun ini merupakan satu platform ataupun ruang perbincangan serta pertemuan antara alumni UPM sesama alumni dan juga alumni UPM bersama wakil Universiti yang diterajui oleh ARCUPM.
Terdahulu, Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad baharu sahaja dilantik sebagai Pengarah baharu ARCUPM berkuatkuasa pada 1 April 2024 bagi menggantikan Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud yang bersara wajib pada Ogos 2024. - DagangNews.com