Majoriti syarikat filem, drama di Malaysia tidak mengetahui keperluan mohon lesen hiburan awam - DOSM | DagangNews Skip to main content

Majoriti syarikat filem, drama di Malaysia tidak mengetahui keperluan mohon lesen hiburan awam - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Sebanyak 73.1% syarikat yang terlibat dalam filem dan drama tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, selain itu 52.9% syarikat tidak pernah memohon lesen dan 47.1% tidak pasti berkenaan dengan permohonan lesen itu. 

 

Beliau berkata, bagi mengatasi isu tersebut, 63.4 peratus syarikat bersetuju bahawa aktiviti pendidikan perburuhan perlu dipertingkatkan dalam memastikan pihak-pihak yang terlibat mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk mematuhi undang-undang perburuhan yang berkaitan.

 

Selain itu katanya, maklumat asas penggajian yang diperoleh menunjukkan bahawa tiga kumpulan umur tertinggi bagi penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda bagi filem atau drama di Semenanjung Malaysia adalah berumur di antara 15 tahun hingga 17 tahun 11 bulan (32.7%) diikuti umur 13 tahun 11 bulan hingga 14 tahun 11 bulan (32.4%), 5 tahun 11 bulan hingga 12 tahun 11 bulan (24.7%). 

 

"Dari segi penerimaan bayaran pula, didapati 83.7% individu yang menerima pembayaran bagi pihak pelakon kanak-kanak dan orang muda merupakan ibu bapa atau penjaga. Secara khususnya, ibu merupakan individu yang tertinggi menerima bayaran bagi pihak pelakon kanak-kanak dan orang muda ini iaitu sebanyak 50.4% diikuti dengan bapa sebanyak 18.8% dan penjaga sebanyak 14.4%. 

 

"Dapatan juga menunjukkan bahawa 72.6% syarikat tidak memberikan penyata bayaran gaji/upah kepada pelakon kanak-kanak dan orang muda yang digajikan. Bukan itu sahaja, sebanyak 77.3% syarikat menyatakan pembayaran dibuat adalah mengikut jumlah episod/babak yang dilakonkan/rakaman alih suara. 

 

"Seterusnya, waktu penggambaran dan rakaman oleh syarikat produksi menunjukkan 59%melakukan penggambaran tidak menentu atau mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

DOSM

 

 

Mohd Uzir juga memaklumkan bahawa simpanan dan pelaburan bagi memastikan jaminan hari tua pelakon kanak-kanak dan orang muda turut diambil kira. 

 

Beliau berkata, dapatan menunjukkan bahawa 97.8% syarikat tidak melakukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan 59.3% syarikat tidak merancang untuk melakukan caruman terhadap pelakon kanak-kanak dan orang muda pada masa hadapan. 

 

"Lima sebab utama syarikat tidak melakukan caruman adalah syarikat menyedari terdapat keperluan untuk mencarum kepada KWSP tetapi syarikat merasakan tiada keperluan untuk membuat caruman tersebut kerana umur pelakon yang masih kecil (46%). 

 

"Alasan lain yang diberikan ialah syarikat tidak dimaklumkan mengenai keperluan untuk mencarum KWSP (26%), syarikat tidak menyedari keperluan untuk mencarum kepada KWSP (8.6%), pelakon kanak-kanak dan orang muda tersebut merupakan pelakon sementara dan tidak tetap (8.3%) dan kekangan kewangan syarikat (4.2%)," katanya. - DagangNews.com