Majuperak meterai MoU dengan SPIC Energy teroka potensi pembangunan solar di Perak | DagangNews Skip to main content

Majuperak meterai MoU dengan SPIC Energy teroka potensi pembangunan solar di Perak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Majuperak Holdings Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPIC Energy Malaysia Berhad bagi teroka potensi kerjasama dalam pembangunan projek solar fotovoltaik yang di pasang di atas tanah dan terapung di Perak.

 

Kumpulan itu berkata, mereka juga akan meneroka kemungkinan kerjasama dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Katanya, kerjasama itu menetapkan prinsip umum dan parameter komersial bagi meneruskan projek termasuk mengenal pasti serta melaksanakan kerja-kerja awal dalam penilaian berdaya maju, komersial dan sebaliknya melibatkan pelaburan kedua-dua pihak.

 

"Kedua-dua pihak perlu bekerjasama untuk mewajarkan daya maju teknikal dan komersial setiap projek yang berpotensi.

 

"Kedua-dua kumpulan hendaklah bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan projek, menetapkan kriteria kejayaan dan berusaha ke arah pengesahan dan penyiapan projek," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, MoU itu sah dan berkuat kuasa untuk satu tahun melainkan berlaku sebarnag lanjutan atau ia ditamatkan mengikut peruntukan yang ditetapkan.

 

Perjanjian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke pendapatan bersih sesaham buat kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. - DagangNews.com