Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Cadangan untuk meneruskan larangan perjalanan rentas negeri dilihat sebagai satu keputusan yang tidak seimbang, malah meletakkan industri hotel dalam keadaan lebih berisiko.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, keputusan tersebut membuatkan lebih banyak industri hotel terpaksa ditutup.
"Walaupun industri pelancongan dan hotel menghargai usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengendalikan penularan COVID-19, cadangan Menteri Kesihatan baru-baru ini untuk meneruskan larangan rentas negeri bukanlah keputusan yang seimbang.
"Industri ini memahami rasionalnya, tetapu mendesak Menteri Kesihatan untuk melihat semula statistik dan data semasa serta membincangkan hal ini dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum membuat keputusan untuk meneruskan larangan perjalanan ke seluruh negara.
"Larangan perjalanan antara negeri yang diteruskan itu membuatkan lebih banyak industri hotel akan ditutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Adham Baba mencadangkan agar larangan rentas negeri dan daerah dikekalkan susulan penurunan jumlah kes dan kadar kebolehjangkitan COVID-19.
Setelah mengalami kerugian lebih daripada RM6.5 bilion pada tahun lalu, industri hotel kembali lumpuh susulan pelaksanaan PKP 2.0 pada awal Januari 2021.
Keadaan tersebut menyebabkan lebih banyak hotel ditutup dan lebih ramai pekerja terpaksa diberhentikan.
Tambah beliau, industri pelancongan sebenarnya terbukti telah beroperasi dan mematuhi SOP sejak PKP pertama Mac lalu, bahkan telah memperkenalkan pensijilan kebersihan dan keselamatan label “Clean & Safe Malaysia”.
"Industri ini sentiasa bekerjasama dengan MOTAC dan pihak berkuasa kesihatan di samping bersedia untuk mematuhi SOP tambahan.
"Industri ini juga meminta KKM untuk memberi pelepasan kuarantin yang lebih singkat kepada individu yang melakukan perjalanan ke luar negara bagi tujuan perniagaan untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia. Ketika ini, pelepasan itu hanya dikuatkuasakan kepada para menteri sahaja.
"Sekiranya KKM yakin dengan SOP tersebut, ia harus berfungsi untuk komuniti perniagaan sekali gus mendorong kepada pelaburan," tambah beliau lagi. - DagangNews.com