Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham Supercomnet berikutan pengagihan semula sumber dalaman | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham Supercomnet berikutan pengagihan semula sumber dalaman

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malacca Securities menghentikan liputan ke atas saham Supercomnet Technologies Bhd akibat pengagihan semula sumber dalaman, di mana saranan terakhirnya adalah ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM1.52 sesaham.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan tersebut, firma penyelidikan itu berkata, segmen perubatan dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kumpulan itu. 

 

Katanya, segmen itu masing-masing menyumbang 79% dan 76% daripada jumlah hasil pada suku pertama 2024 dan suku keempat 2023.

 

"Bagaimanapun, Edwards Lifesciences, antara pelanggan terbesar mereka, baru-baru ini telah menurunkan taraf panduan setahun penuhnya untuk penggantian injap aorta kepada 5% hingga 7% daripada 8% hingga 10%, yang telah menjejaskan harga sahamnya lebih daripada 30% dalam pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

 

"Kami percaya bahawa pelanggan lain dalam segmen perubatan, iaitu Ambu, Mermaid Medical, dan Inovative Health Sciences akan dapat mengimbangi pertumbuhan yang lebih perlahan dalam Edwards," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada 1QFY24, Supercomnet merekodkan untung bersih sebanyak RM6 juta, peningkatan 4% berbanding tahun sebelumnya dan ia selaras dengan jangkaan firma dan ramalan consensus yang masing-masing menyumbang 18% dan 15.4%.

 

Sehingga 1QFY24, kumpulan itu terus mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh dengan bebas pinjaman dan kedudukan tunai RM245.55 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelanggan N sedang menjalani ujian klinikal peringkat akhir, dengan pengeluaran besar-besaran Peranti Terapi Nanoperubatan dijangka pada tahun ini, yang boleh memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

 

"Bagi rancangan pembesarannya, kumpulan itu akan mengalihkan pengeluaran SAC (automotif) ke kilang baharu di Gurun bagi mengosongkan ruang dan memenuhi permintaan segmen perubatan pada masa hadapan," katanya.- DagangNews.com