Malacca Securities jangka kadar pertumbuhan UOA REIT terkesan akibat tekanan inflasi global | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka kadar pertumbuhan UOA REIT terkesan akibat tekanan inflasi global

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Malacca Securities menjangkakan kadar pertumbuhan UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) terkesan akibat tekanan inflasi ekonomi global selain kesan pandemik COVID-19.

 

Firma itu juga berkata, kadar sewa juga dijangka tidak berubah selepas pembaharuan penyewaan.

 

Katanya, kadar penghunian mencatatkan penurunan sederhana sejak 4QFY21 bagi kebanyakan bangunan UOA REIT dan pada 2QFY22, kadar penghunian untuk bangunan lama berumur lebih daripada 20 tahun yang termasuk Pusat UOA, Wisma UOA II dan Wisma UOA Damansara I berada sekitar 67.0-74.0%.

 

Bagi bangunan baharu seperti Menara UOA Bangsar dan Menara Korporat UOA, kadar penghuniannya melebihi 90.0%.

 

"Bagaimanapun, kami positif terhadap unjuran UOA REIT untuk jangka panjang kerana aktiviti penyewaannya sedang dalam fasa pemulihan selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sempadan negara.

 

"Sementara itu, kami terus menyukai Hak Penolakan Pertama UOA REIT ke atas aset pelaburan UOA Development Berhad yang memberikan mereka  beberapa siri peluang ke atas perniagaan runcit, pusat konvensyen, hotel dan menara pejabat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, UOA REIT menyaksikan pendapatan sewa bersihnya bagi 2QFY22 turun 1.5% kepada RM21.72 juta berbanding RM22.06 juta setahun lalu.

 

Kadar sewa kasarnya merosot 1.7% kepada RM28.49 juta pada 2QFY22, berbanding RM28.97 juta setahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan (1HFY22), pendapatan sewa bersihnya susut 1.8% kepada RM43.95 juta daripada RM44.75 juta setahun lalu, manakala sewa kasar turun 1.5% tahun ke tahun kepada RM57.59 juta daripada RM58.47 juta.

 

Firma itu berkata, keuntungan bersih teras UOA REIT adalah sejajar dengan jangkaan dan firma itu mengekalkan unjuran FY22F, FY23F dan FY24F, masing-masing tidak berubah pada RM64.8 juta, RM67.8 juta dan 71.0 juta.

 

"Unjuran pendapatan itu dibuat beradasarkan pemulihan kadar penghunian didorong aktiviti penyewaan yang bertambah baik, lokasi strategik dan jaringan pengangkutan awam," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk UOA REIT dengan harga sasaran (TP) RM1.40 sesaham. - DagangNews.com