Malacca Securities jangka prospek Teo Seng Capital cerah didorong peningkatan permintaan telur ayam | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka prospek Teo Seng Capital cerah didorong peningkatan permintaan telur ayam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Malacca Securities menjangkakan prospek Teo Seng Capital Berhad semakin cerah didorong peningkatan permintaan untuk telur ayam dalam pasaran domestik dan luar negara semasa pemulihan ekonomi.

 

Firma itu juga menjangkakan sumbangan lebih tinggi daripada segmen penternakan ayam itik dalam jangkaan harga telur ayam diapungkan.

 

"Kumpulan itu juga komited pelan pengembangannya, menyasarkan untuk mencapai pengeluaran telur ayam harian sebanyak 4.3 juta telur menjelang FY24.

 

"Katanya, dari segi pengeluaran telur ayam harian melebihi 4 juta berikutan pembesaran kapasiti dan menaik taraf kemudahan dan peralatan ladang sedia ada pada suku keempat 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung sebelum cukai 1QFY23 kumpulan itu berjumlah RM24.4 juta, mewakili pertumbuhan luar biasa sebanyak 553.5% berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.7 juta daripada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Segmen penternakan ayam mencatatkan hasil sebanyak RM158.3 juta dengan keuntungan sebelum cukai bertambah baik daripada RM1.2 juta kepada RM21.4 juta dipacu oleh gabungan harga jualan telur yang lebih baik, peningkatan kuantiti jualan telur dan sumbangan yang lebih tinggi daripada jualan ayam tua.

 

BACA JUGA: Hasil Teo Seng Capital meningkat 24.5% kepada RM183.4 juta bagi 1QFY23 dipacu gabungan harga jualan telur yang positif

 

Dalam usaha menangani kenaikan kos bahan mentah, firma itu berkata, kumpulan itu mengambil langkah proaktif termasuk meluaskan pangkalan pelanggan melalui e-dagang dan saluran pemasaran pelbagai lain serta produk hiliran baharu selain pentauliahan 16 sistem solar fotovoltaik (PV) yang berjaya menjimatkan 30% kos utiliti.

 

"Sementara itu, kumpulan itu mempunyai 10 projek PV solar tambahan yang sedang dijalankan untuk pemasangan yang mungkin membawa kepada pengurangan selanjutnya dalam kos elektrik," katanya.

 

Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 101.6% dan 111.4% kepada RM49.2 juta dan RM57.7 juta.

 

"Kami menyemak naik penaragan kumpulan kepada 'beli' berbanding 'jual' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) yang disemak semula sebanyak RM1.34 sesaham," katanya. - DagangNews.com