KUALA LUMPUR 17 Jun - Malacca Securities menjangkakan segmen gas ultra high purity (UHP) atau gas ketulenan ultra tinggi akan terus penyumbang utama pendapatan Kelington Group Berhad pada masa akan datang.
Firma itu berkata, segmen kontrak kerja-kerja umum kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada kerja pembinaan berskala besar yang telah diperolehi tahun lepas di Sarawak.
Katanya, loji LCO2 yang merekodkan kadar penggunaan 70% dijangka meningkat pada 2023 daripada skim bekalan gas industri dalam tempoh 10 tahun yang diraih baru-baru ini.
"Pasaran semikonduktor global mencatatkan kenaikan 21.1% kepada AS$50.9 bilion (RM223.83 bilion) pada April 2022 dan pemain-pemain utama dalam sektor itu akan terus mengembangkan kapasiti pengeluarannya untuk memenuhi permintaan pasaran terutama melibatkan perkomputeran awan, pelayan data, penderia, dan penyelesaian automatik segmen perniagaan.
"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan gangguan pekerja minimum di China dan pada masa sama kami mendapati bahawa stok serta bahan binaan mencukupi untuk pelaksanaan porjek sedia ada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Kelington Group raih kontrak RM114 juta bina kemudahan pengeluaran semikonduktor
Terdahulu, Kelington menerusi anak syarikatnya, Kelington Technologies Sdn. Bhd. (KTSB) memeterai kontrak pembinaan dengan pengeluar elektronik dan semikonduktor multinasional Perancis-Itali, untuk mereka bentuk dan membina sebuah bangunan baharu merangkumi kawasan pengeluaran, kilang utiliti elektrik dan mekanikal serta bangunan letak kereta bertingkat untuk kilang sedia ada di Johor.
KGB berkata, kontrak itu bernilai kira-kira RM114 juta, tertakluk kepada jumlah sebenar kerja yang dibuat, bergantung kepada variasi tempahan, pilihan skop dan nilai kejuruteraan.
Firma itu berkata, kejayaan meraih kontrak baharu itu menyaksikan tempahan semasa mereka berada paras RM700 juta dan pertambahan tempahan itu berjaya mencapai sasaran 70% daripada unjuran RM1 bilion untuk FY22.
"Kami percaya bahawa jumlah itu mampu dicapai berdasarkan kepada perkembangan positif dalam industri semikonduktor.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Kelington dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.61," katanya. - DagangNews.com