Malacca Securities menilai Elridge Energy yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 54 sen | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities menilai Elridge Energy yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 54 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Malacca Securities memberi harga wajar sebanyak 54 sen terhadap Elridge Energy Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 20x daripada pendapatan sesahamnya sebanyak 2.71 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Katanya, PE sebanyak 20x adalah wajar kerana ia sejajar dengan purata 20.8x daripada rakan setaranya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu secara dasarnya terlibat dengan penghasilan produk bahan api biojisim khususnya daripada kulit isirung sawit dan pelet kayu.

 

"Pelanggan utama kumpulan itu berpangkalan di Indonesia, Singapura, dan Jepun yang terdiri daripada pengeluar serta pengendali loji janakuasa biojisim.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Elridge Energy sasar kumpul RM101.5 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

"Bagi FY24-FY26, kami mengunjurkan hasil kumpulan berkembang antara 11.1% hingga 20.7% kepada RM379.1 juta hingga RM508.5 juta.

 

"Pada masa sama kami meramalkan untung bersih terasnya meningkat sebanyak 8.2% hingga 94.9% kepada RM45.9 juta hingga RM58.6 juta, disokong pengembangan keseluruhan rancangan barisan pembuatan kulit isirung sawit serta buku pesanan semasa daripada pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Malacca Securities berkata, selepas lebih sedekad berada dalam industri, Elridge Energy mempunyai rekod prestasi yang kukuh, menguasai 22.3% bahagian pasaran pada 2023, menjadikannya salah satu pemain utama dalam pembuatan kulit isirung sawit di rantau Asia Pasifik.

 

Di Asia Pasifik (APAC), pasaran produk itu meningkat daripada RM905.6 juta pada 2019 kepada RM1.3 bilion pada 2023, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan tekompaun (CAGR)  sebanyak 6.7%.

 

Menurut Penyelidikan Providence, pasaran kulit sirung swait di Asia Pasifik diunjur berkembang pada CAGR sebanyak 8.9%, daripada anggaran RM1.4 bilion pada 2024 kepada RM1.7 bilion menjelang 2026.

 

"Sementara itu, pasaran pelet kayu meningkat daripada RM31.1 bilion kepada RM44.7 bilion mencapai CAGR sebanyak 6.9%, dan pasaran pelet kayu dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 8.6% daripada RM48.4 bilion pada 2024 kepada RM57.1 bilion pada 2026," katanya. - DagangNews.com