Malacca Securities mulakan liputan terhadap Asia File Corporation dengan saranan 'pegang', FV RM1.86 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities mulakan liputan terhadap Asia File Corporation dengan saranan 'pegang', FV RM1.86

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - Malacca Securities memulakan liputan terhadap Asia File Corporation dengan saranan 'pegang' pada harga wajar (FV) RM1.86 sesaham.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memiliki asas yang kukuh dalam indutri pemfailan dan sentiasa memanfaatkan kilang pembuatan fail dan kertasnya di seluruh Malaysia, United Kingdom (UK) dan Jerman.

 

Katanya, firma itu juga berjaya menghasilkan produk berkualiti tinggi pada kos yang lebih rendah dengan jenama terkenal ABBA dan satu siri produk berpaten berkualiti tinggi.

 

"Sebagai peneraju pasaran, kumpulan itu berjaya meraih margin keuntungan yang baik kerana kurangnya persaingan dalam industri berkenaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bahagian barangan penggunanya telah berkembang daripada RM0.3 juta kepada RM48.6 juta dalam masa kurang lima tahun dan kini sedang mengintai pelancaran produk baharu dan pengembangan di luar negara.

 

Katanya, perancangan pelancaran produk baharu itu disokong oleh kepakaran kumpulan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain strategi harga.

 

"Mencontohi model perniagaan yang berjaya dalam perniagaan pemfailannya, kumpulan itu berhasrat untuk mengembangkan jualan produk ke luar negara terutamanya di UK dan Eropah selepas ujian produk yang giat di dalam negara sejak FY18.

 

"Pelan pengembangan itu akan memanfaatkan kehadiran fizikalnya, rangkaian pengedaran yang baik dan kemudahan pembuatan sedia di UK dan Eropah," katanya.

 

Firma itu berkata, tanpa perbelanjaan modal besar, kumpulan itu mempunyai kapasiti untuk memenuhi 2x-3x perniagaan pemfailan sedia ada dan tambahan 50.0% perolehan untuk bahagian barangan penggunanya.

 

Katanya, memandangkan keupayaan kapasiti yang mencukupi, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk menerima lebih banyak jualan daripada kedua-dua penyatuan industri dan permintaan yang semakin bertambah selepas memasuki fasa endemik. - DagangNews.com