Malacca Securities mulakan liputan terhadap Malaysia Smelting Corporation dengan saranan 'pegang' FV RM5.36 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities mulakan liputan terhadap Malaysia Smelting Corporation dengan saranan 'pegang' FV RM5.36

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - Malacca Securities memulakan liputan Malaysia Smelting Corporation (MSC) Berhad dengan saranan 'pegang' pada nilai wajar (FV) RM5.36.

 

Penilaian FV itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 13x.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MSC adalah pengeluar ketiga terbesar dunia untuk logam timah dan produk berasaskan timah di dunia dengan kapasiti peleburan sebanyak 80,000 tan metrik setahun.

 

Katanya, perlombongan bijih timah sedang menunjukkan aliran menaik berikutan kecekapan pengeluaran dan loji peleburan baharu di Pulau Indah dijangka menjadi nadi utama dalam memacu pertumbuhan mereka.

 

"Menerusi Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd., MSC memiliki memiliki antara lombong bijih timah terbesar dan tertua di Malaysia sejak 2004 meliputi kawasan seluas 267.3 hektar dan dilengkapi dengan stesen kuasa hidro 1.0MW

 

"Pada masa sama tempoh pajakannya adalah sehingga 2034 dan sentiasa memberikan hasil konsisten sepanjang tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketika ini, MSC beroperasi dengan dua loji peleburan dengan kapasiti 40,000 tan metrik setiap satu dengan loji baharu di Pulau Indah dilengkapi teknologi Relau Top Submerged Lance (TSL) yang mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 60,000 tan metrik melalui proses pengayaan oksigen.

 

Katanya, harga timah berada pada paras tertinggi AS$50,000 (RM214,124) bagi setiap tan pada Mac 2022 sebelum mencatatkan penurunan sejak beberapa minggu lalu.

 

"Kami menjangkakan harga timah akan kekal pada paras sebelum pandemik selepas mengambil kira kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan daripada pengeluar kenderaan elektrik, peranti elektronik dan pemasangan panel solar untuk premis kediaman dan komersial," katanya. - DagangNews.com