Malacca Securities percaya Econpile masih berpeluang raih keuntungan pada suku akan datang | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities percaya Econpile masih berpeluang raih keuntungan pada suku akan datang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Selepas mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM27.4 juta untuk tempoh 9MFY22, Malacca Securities percaya masih ada ruang untuk Econpile Holdings Berhad mencatatkan keuntungan pada suku tahun berikutnya.

 

Firma itu berkata, berdasarkan baki tunai RM53.5 juta yang dimiliki, kumpulan itu masih ada ruang untuk mencari dana luar bagi membiayai modal kerja mereka dalam usaha untuk mengatasi landskap operasi yang sukar.

 

"Selepas mengambil kira situasi semasa dan harga bahan binaan yang semakin tinggi, kami percaya masih ada ruang untuk kumpulan itu kembali mencatat keuntungan suku akan datang. 

 

"Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu yang mengganggu kemajuan kerja-kerja mereka, kami merasakan industri pembinaan akan berada dalam keduduka yang baik pada 2022 dengan negara sedang memasuki fasa endemik.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan kenaikan kos tenaga kerja dan bahan mentah yang mungkin akan menjejaskan margin keuntungan dalam sektor itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Econpile mencatatkan kerugian bersih RM16.2 juta pada 3QFY22 berbanding keuntungan RM2.6 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kerugian itu berpunca daripada tekanan margin kewangan disebabkan harga bahan mentah yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja di dalam sektor berkenaan.

 

Pendapatan kumpulan bagi suku itu jatuh sebanyak 29% kepada RM92 juta.

 

Katanya, sehingga akhir 3QFY22, Econpile memiliki senarai tempahan yang belum direkodkan sebanyak RM550 juta, mewakili pendapatan sebanyak RM420.1 juta yang akan memberikan sumber pendapatan yang jelas kepada kumpulan dalam tempoh dua tahun. 

 

Firma itu menyemak turun saranan Econpile kepada 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM0.15.

 

"Kami juga menurunkan unjuran pendapatan kumpulan untuk FY22F kepada rugi bersih RM29.1 juta (berbanding untung bersih RM2.3 juta) selepas mengambil kira harga bahan mentah yang kekal tinggi dan kenaikan kos tenaga kerja," katanya. - DagangNews.com