Malacca Securities 'potong' unjuran pendapatan Supercomnet Technologies bagi FY23-FY25 akibat kos operasi lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities 'potong' unjuran pendapatan Supercomnet Technologies bagi FY23-FY25 akibat kos operasi lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Malacca Securities menyemak turun unjuran pendapatan Supercomnet Technologies Berhad sebanyak 10% hingga 11% bagi FY23-FY25 selepas mengambil kira kelewatan pelancaran produk baharu, margin keuntungan yang lebih lemah selain kos operasi yang lebih tinggi.

 

Firma itu bagaimanapun menjangkakan segmen perubatan yang menyumbang 64% kepada keseluruhan hasil kumpulan pada 4QFY22 akan terus menjadi penyumbang utama.

 

Katanya, perkara itu akan disokong oleh pelancaran produk baharu pada 2023 selain usaha pembesaran kilang selepas kumpulan itu memperuntukkan RM25 juta untuk tiga tahun bagi pembinaan bangunan lima tingkat untuk menempatkan pengeluaran produk perubatan baharu.

 

Pembinaan kilang itu akan bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

 

BACA JUGA: Masalah pembekal, untung bersih Supercomnet susut 23% kepada RM6.1 juta pada suku keempat

 

"Sementara itu, cadangan perpindahan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia juga berada di landasan tepat.

 

"Langkah itu akan meningkatkan keyakinan rakan kongsi perniagaan, pekerja dan pemegang sahamnya serta menarik kumpulan pelabur institusi yang lebih besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 30.89% kepada RM33 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM25.21 juta pada tahun sebelum itu.

 

Hasil meningkat 10.24% kepada RM158.33 juta untuk setahun penuh daripada momentum pertumbuhan syarikat daripada pelanggan sedia ada dan sumbangan sulung daripada pelanggan baharu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.74 sesaham.

 

Katanya, risiko cadangan itu termasuk kemungkinan kelewatan dalam kelulusan FDA bagi pelancaran produk baharu yang menjejaskan prospek pertumbuhan dalam aliran pendapatan baharu.

 

"Turun naik dalam kos bahan mentah boleh menjejaskan margin dengan kos bahan menyumbang kira-kira 50% daripada kos pengeluaran kumpulan," katanya. - DagangNews.com