Malakoff catat kerugian bersih RM884 juta pada FY23 kesan margin bahan api negatif | DagangNews Skip to main content

Malakoff catat kerugian bersih RM884 juta pada FY23 kesan margin bahan api negatif

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Malakoff Corporation Berhad mencatat kerugian bersih RM884 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding keuntungan bersih RM255 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kerugian tersebut diheret oleh margin bahan api negatif yang besar dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 di loji arang batu Tanjung Bin Power (TBP) dan Tanjung Bin Energy (TBE), kata penyedia tenaga hijau dan pengurusan sisa itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Di samping itu, ia memperoleh sumbangan lebih rendah daripada loji tenaga gas GB3 berikutan tamat tempoh perjanjian pembelian kuasa (PPA), pengiktirafan bahagian kerugian daripada Al-Hidd IWPP, iaitu syarikat bersekutu miliknya 40% di Bahrain dan kerugian rosot nilai selanjutnya ke atas bawaan nilai pelaburan kumpulan dalam Al-Hidd IWPP.

 

Ini menyebabkan penyedia tenaga hijau dan pengurusan sisa itu mencatat kerugian sesaham sebanyak 18.1 sen berbanding pendapatan sesaham 5.22 sen tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan itu pula menguncup 12% kepada RM9 bilion pada tahun semasa daripada RM10.36 bilion tahun sebelumnya.

 

Malakoff menutup tahun kewangannya dengan kerugian bersih RM357 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding keuntungan bersih RM41.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatannya pada suku dalam tinjauan merosot 23.9% kepada RM2.26 bilion daripada RM2.96 juta tahun sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib menzahirkan hasrat kumpulan untuk mengembangkan kehadiran di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan memanfaatkan kepakaran teknikalnya. 

 

“Kami secara aktif mengambil bahagian dalam bidaan kompetitif untuk projek solar yang dimulakan oleh kerajaan Malaysia. 

 

“Selain itu, kami terbuka kepada potensi penggabungan dan pemerolehan (M&A) dalam sektor pengurusan sisa dan penyelesaian alam sekitar. 

 

“Komitmen kami diperluas untuk meneroka dan melaksanakan teknologi hijau yang berdaya maju secara berterusan bagi kemajuan Malakoff,” ujar beliau.

 

Saham Malakoff ditutup rendah 1.5 sen atau 2.2% pada 66 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM3.3 bilion. - DagangNews.com