Malakoff, KOEN kongsi amalan baik operasi dan teknologi baharu penjanaan tenaga | DagangNews Skip to main content

Malakoff, KOEN kongsi amalan baik operasi dan teknologi baharu penjanaan tenaga

Pertukaran MoU antara Naib Presiden Kanan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) Bahagian Penjanaan Tempatan, Mohd Kopli Yunus (paling kanan) dan Pengurus Besar Korea South-East Power (KOEN), Chong Ho Jung (kedua dari kiri); disaksikan oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib (paling kiri), Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor, Ahmad Jailani Mansor, dan Datuk Feroz Hanif Mohamed Ahmad, Presiden Persatuan Jurutera Malaysia
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Bhd (Malakoff), Malakoff Power Bhd (MPB), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Korea South-East Power Company (KOEN) di Puchong semalam. 


MoU itu bertujuan untuk memudahkan proses pertukaran maklumat, perkongsian pengalaman, amalan baik dalam operasi, penyelenggaraan loji janakuasa, termasuk pengurusan rantaian bekalan, lawatan tapak serta bengkel teknikal. 


Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan Bahagian Penjanaan Tempatan Malakoff, Mohd Kopli Yunus dan Pengurus Besar KOEN, Chongho Jun. 

 

Menyaksikan pertukaran dokumen itu ialah Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Ahmad Jailani Mansor, Presiden Persatuan Jurutera Malaysia (MAE) Datuk Feroz Hanif Mohamed Ahmad dan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

 

Menerusi perjanjian ini, kedua-dua pihak dapat memanfaatkan kepakaran bersama.

 

MPB berpengalaman khususnya dalam operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa di Malaysia, yang kini menguruskan asset syarikat itu di Johor, Perak dan Pulau Pinang. 

 

Pada masa yang sama, KOEN berpengalaman dalam pembangunan dan operasi sumber kuasa elektrik, termasuk loji janakuasa dan kemudahan berkaitan. 

 

Selain itu, KOEN merupakan syarikat tenaga perbadanan awam ditubuhkan semasa penstrukturan semula industri tenaga Korea Selatan pada April 2001, syarikat itu membekalkan kira-kira 10% daripada tenaga elektrik Korea. 

 

Fasilitinya termasuk arang batu, biojisim, loji janakuasa gas asli cecair (LNG) dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.


 
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin menekankan kerjasama itu membolehkan kumpulan itu menggunakan teknologi baharu, meningkatkan kecekapan operasinya dan menyumbang kepada keselamatan tenaga negara. 

 

"Kerjasama ini membolehkan kami mengguna amalan baik untuk mengurus dan meningkatkan aset loji janakuasa, menyesuaikan dengan penyepaduan tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid dan penggunaan bahan api biojisim. 

 

Syarikat itu menyasarkan 5% kombinasi pembakaran biojisim ke dalam Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBPP) yang menjana 2,100 MW di Johor menjelang 2025 dan peningkatan sebanyak 15% menjelang 2027.  

 

“Kerjasama ini akan menyokong penghijauan loji janakuasa kami dengan menggalakkan penggunaan semula dan mengitar semula sisa arang batu melalui teknologi dipatenkan berkaitan dengan kitar semula abu bawah serta memudahkan penggunaan teknologi bersih termaju. 

 

"Saya percaya kerjasama strategik ini bukan sahaja akan membolehkan kami menaik taraf dan meningkatkan prestasi loji kami, malah juga mengukuhkan komitmen kami untuk menyalurkan tenaga tanpa gangguan kepada negara.”

 

“Kerjasama ini sejajar dengan usaha berterusan kami untuk meningkatkan standard operasi dan memacu penambahbaikan  berterusan," ulas Anwar.- DagangNews.com