IPOH 13 Okt - Taman tema Lost World of Tambun (LWOT) membawakan pengalaman berbeza kepada para pengunjungnya apabila mengadakan malam seram, Screamfest yang menampilkan zombi dan pelbagai karektor hantu lain.
Watak-watak pelbagai hantu ini akan mengejutkan pengunjung semasa melalui enam kawasan seram dalam taman tema itu dengan iringan bunyi-bunyian menyeramkan.
Screamfest merupakan satu tarikan baharu taman tema air keluarga ini untuk mengajak orang ramai berhibur dalam persekitaran seperti yang kerap digambarkan dalam filem-filem seram.
LWOT menjangka kehadiran sehingga 10,000 pengunjung sehari sepanjang acara itu berlangsung khususnya semasa cuti umum nanti.
Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi berkata, Screamfest diadakan susulan sambutan amat baik parti Halloween Day of The Dead yang menampilkan elemen Mexico seperti pakaian berwarna-warni dan topi besar dua tahun lalu.
"Bagaimana pun, LWOT tidak dapat menganjurkan acara besar disebabkan pandemik, jadi apabila situasi kembali pulih kita adakan Screamfest bertemakan Risen of the Zombies.
"Screamfest mempunyai enam tarikan tempat seram untuk dimasuki pengunjung, lima persembahan pentas yang mendebarkan dan lain-lain aktiviti menghiburkan.
"Screamfest juga merupakan tarikan tambahan pada taman malam LWOT melibatkan sebahagian besar kawasan taman tema yang berubah wajah umpama rumah hantu terbuka," ujarnya.
Beliau sebelum itu merasmikan tirai persembahan Screamfest malam tadi pada sesi bersama media.
Screamfest akan berlangsung selama 11 malam bermula 21 Oktober depan dan akan menjadi satu lagi pesta seram LWOT yang terbaik pernah dianjurkan.
Pihak LWOT juga mewujudkan lokasi khusus untuk dirasai pengunjung yang mahukan cabaran bersifat mendebarkan, namun pada masa sama menyeronokkan.
Bagi persembahan pentas, pengunjung dihiburkan kumpulan Zombie Royalty Ball menampilkan aksi Cirque Du Freak, The Condemned by Flaming Percussion, Dukun Mantra dan Scream Fest Final Show: Zombie DJ Party.
Kata Nurul, Screamfest juga dilihat sebagai permulaan yang baik bagi LWOT merancakkan kembali aktiviti pelancongan yang suram sepanjang dua tahun lalu.
“Selepas ini, lebih banyak acara akan kita anjurkan sebagai salah satu inisiatif menyuntik kembali pelancongan tempatan khususnya mengajak pengunjung datang ke Ipoh.
"Kita yakin acara ini dapat memberi impak bagaimana sebuah festival atau pesta yang biasanya dibuat di luar negara juga boleh diberi sentuhan tempatan untuk menjadi tarikan," ujar beliau.
Sebagai sebuah taman tema air yang lengkap, LWOT menjadi lokasi hiburan yang sesuai untuk aktiviti kekeluargaan. - DagangNews.com