Malam Wartawan Malaysia 2021 ditangguh - MPI | DagangNews Skip to main content

Malam Wartawan Malaysia 2021 ditangguh - MPI

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang dijadualkan berlangsung pada 20 Ogos terpaksa ditangguh berikutan pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam.

 

Turut ditunda majlis penyerahan cek dalam kalangan para penaja dan penyumbang MWM 2021 yang dijadual pada 8 Julai depan kepada satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

 

Keputusan penangguhkan kedua-dua majlis tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya hari ini setelah berbincang dengan Ahli Majlis Pentadbir MPI.

 

Menurut Chamil, keputusan berat itu terpaksa diambil kerana semasa fasa kedua PPN selama dua bulan pada Julai dan Ogos 2021, kerajaan masih menutup sektor sosial yang melarang penganjuran pelbagai kegiatan sosial yang membabitkan kehadiran ramai seperti penganjuran MWM 2021.

 

Chamil Wariya
Chamil Wariya

 

“Kami berharap MWM 2021 bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020 (HKM 2020) tajaan Petronas akan dapat diadakan pada fasa tiga PPN selepas bulan September 2021 apabila kerajaan dijangka mula membenarkan penganjuran sosial,” kata Chamil dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau memberitahu, tarikh-tarikh baharu bagi penganjuran majlis penyerahan cek para penyumbang MWM 2021 dan MWM akan diputuskan dalam waktu terdekat setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan butiran terperinci mengenai penganjuran pelbagai kegiatan sosial yang dibenarkan selepas fasa dua PPN berakhir pada Ogos 2021.

 

Tambah Chamil, MPI akur dengan keputusan kerajaan demi memastikan jangkitan wabak COVID-19 yang masih mengganas ketika ini dapat dikawal dan rantaiannya berupaya diputuskan.

 

“Saya tahu mereka yang menyertai HKM 2020, tidak sabar untuk mengetahui keputusannya dan untuk tahu siapakah antara mereka yang akan membolot hadiah RM300,000 yang ditaja oleh Petronas. Saya minta mereka bertenang kerana majlis itu insyaAllah akan dapat diadakan tahun ini,” kata Chamil lagi.

 

Beliau juga meminta syarikat-syarikat korporat yang telah menghulurkan sumbangan dan tajaannya bagi menjayakan MWM 2021 bersabar kerana komitmen MPI untuk menjayakan MWM sejak ia pertama kali diadakan pada tahun 1981 kekal membara.

 

Menurut beliau, MPI menghargai sumbangan yang telah dihulurkan oleh badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan dalam penganjuran MWM 2021.

 

Dalam masa sama, MPI juga berterima kasih kepada Petronas atas persetujuannya untuk menaja HKM pada kuantum RM300,000 bagi HKM tiga tahun akan datang.

 

Mengenai program latihan MPI yang dirancang pada Jun dan Julai 2021, Chamil memberitahu kursus-kursus yang dijadualkan tetap akan diadakan kerana ia akan dilangsungkan secara dalam talian sepenuhnya. - DagangNews.com