Malaysia ada keupayaan capai 100 peratus keterangkuman digital - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Malaysia ada keupayaan capai 100 peratus keterangkuman digital - Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob bersama Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan pada majlis pelancaran Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan (CSIC), hari ini.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Malaysia mempunyai keupayaan untuk mencapai 100 peratus keterangkuman digital, terutamanya dalam kalangan komuniti yang mudah terjejas, dalam usaha untuk merapatkan jurang digital. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggunaan teknologi yang cekap dan berkesan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan memanfaatkan projek perkongsian awam swasta.

 

Ia sekaligus akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, menambah baik penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam selain menggalakkan inovasi dan ekonomi bidangan.

 

“Mengukuhkan kerjasama ini dan menjalin kerjasama baharu dengan sektor swasta akan memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi serantau utama untuk pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi digital yang pesat,” katanya semasa melancarkan Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan (CSIC) Huawei, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Perdana Menteri meluangkan masa selama 20 minit melawat CSIC baharu itu dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan.

 

Ismail Sabri berkata, melalui strategi pembangunan untuk lima tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), tumpuan kepada mengukuhkan pembolehubah pertumbuhan akan terus diberi keutamaan, terutamanya dalam sektor teknologi dan inovasi.

 

huawei

 

Beliau berkata, ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

 

Perdana Menteri berkata, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan pendigitalan untuk mengatasi cabaran menjalankan perniagaan dalam tempoh sukar ini tanpa mengganggu kecekapan dan produktiviti.

 

huaweiw

 

“Entiti perniagaan perlu bertindak cepat dan fleksibel untuk bertahan dalam tempoh mencabar ini dan ini tidak mungkin berlaku tanpa penggunaan teknologi digital, terutamanya apabila urusan secara bersemuka bukan satu pilihan.

 

“Sehubungan itu, saya gembira dengan pencapaian yang dicapai oleh Huawei Malaysia seperti yang dapat dilihat di CSIC, yang membantu dalam transformasi digital negara,” katanya.

 

Menurut Ismail Sabri, tenaga kerja merupakan aspek penting dalam mempercepatkan transformasi digital untuk negara dan beliau dimaklumkan bahawa kebanyakan pekerja Huawei Malaysia adalah rakyat tempatan. 

 

“Saya berbangga untuk menyatakan, dalam menerima konsep Keluarga Malaysia, Huawei telah mengambil peranan penting dalam membantu kerajaan untuk memberi tumpuan kepada perkara ini (untuk mencapai 100 peratus keterangkuman digital).

 

“Saya berharap lebih banyak syarikat akan tampil untuk mengikut jejak anda,” katanya.-Dagangnews.com