Malaysia Airlines tawar diskaun sehingga 35% untuk pelajar sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi MHexplorer | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines tawar diskaun sehingga 35% untuk pelajar sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi MHexplorer

KUALA LUMPUR 25 April - Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Malaysia Airlines Berhad menawarkan diskaun sehingga 35% kepada pelajar yang layak untuk pulang ke kampung menerusi program perjalanan MHexplorer.

 

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, promosi tersebut sah bagi perjalanan sehingga 30 Jun 2022.

 

“Bagi menikmati tawaran itu, pelajar perlu mendaftar sebagai ahli MHexplorer dan menikmati tambahan diskaun 5% serta-merta daripada diskaun sedia ada (sehingga 30%) bagi tambang penerbangan untuk perjalanan sehingga 30 Jun,” katanya.

 

Katanya, melalui MHexplorer, pelajar berusia antara 18 dan 26 tahun akan menikmati pelbagai manfaat perjalanan bagi tempoh sepanjang tahun.

 

Antara ganjaran yang ditawarkan termasuk diskaun sehingga 30% untuk penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly, elaun bagasi tambahan sebanyak 10 kilogram (kg), satu perubahan tarikh perjalanan secara percuma dan diskaun 20% bagi kargo udara Firefly serta diskaun “keluarga dan rakan-rakan.”

 

Sementara itu, cabang operasi pelancongan syarikat penerbangan itu, MHholidays turut menawarkan diskaun sehingga 20% untuk penerbangan dan pakej hotel, bermula daripada RM359 bagi penginapan selama tiga hari dua malam untuk destinasi domestik yang boleh ditempah mulai esok.

 

Katanya, tawaran itu sah sehingga 10 Mei 2022.

 

“Pelanggan MHholidays antaranya boleh menikmati nilai hebat seperti elaun bagasi sebanyak 35 kg, makanan percuma dalam pesawat dan pilihan tempat duduk percuma,” katanya. - DagangNews.com