Malaysia Airlines tawar lebih 300,000 tempat duduk tambang tetap | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines tawar lebih 300,000 tempat duduk tambang tetap

Malaysia Airlines

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Malaysia Airlines Bhd. (Malaysia Airlines) menawarkan lebih 300,000 tempat duduk kelas ekonomi kepada pelanggannya dengan tawaran tambang tetap.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Izham Ismail berkata, tawaran tersebut adalah usaha pihaknya untuk merancakkan lagi perjalanan di peringkat domestik.

"Tawaran itu memberi fleksibiliti kepada pelanggan untuk membuat tempahan perjalanan berdasarkan keperluan, keutamaan dan kemampuan mereka.

"Tiga pilihan tambang menarik boleh diakses pelanggan iaitu Lite, Bacis dan Flex yang mempunyai tawaran manfaat berbeza-beza seperti elaun bagasi, pemilihan tempat duduk dan perkhidmatan keutamaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kedudukan harga mengikut pilihan tambang, Malaysia Airlines menawarkan tambang sehala semua dalam satu dengan harga RM179 bagi tambang Lite ke destinasi Semenanjung dan perjalanan dalam Sabah dan Sarawak.

Bagi pilihan tambang Basic dan Flex pula masing-masing pada harga RM199 dan RM259 bagi tujuan perjalanan ke destinasi sama.

Manakala bagi perjalanan ke Sabah pula ialah pada harga RM299 (Lite), RM319 (Basic) dan RM379 (Flex).

Bagi perjanan ke Sarawak, harga yang ditawarkan ialah RM239 (Lite), RM259 (Basic) dan RM319 (Flex).

Tambah beliau lagi, pelanggan juga berpeluang menikmati kelebihan dan perkhidmatan penuh penerbangan premium serba lengkap termasuk bagasi kabin hingga tujuh kilogram, minuman serta makanan/snak percuma selain kemudahan akses terhadap sistem hiburan yang disediakan.

Pelanggan boleh membuat tempahan bermula esok iaitu 8 hingga 13 September 2020 dan boleh melakukan penerbangan ke semua destinasi domestik bagi perjalanan segera hingga 16 Disember 2020. - DagangNews.com