Malaysia Airlines tawarkan kelas perniagaan eksklusif bermula RM795 | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines tawarkan kelas perniagaan eksklusif bermula RM795

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Julai - Malaysia Airlines menawarkan tambang kelas perniagaan eksklusif bermula daripada RM795, perjalanan pergi dan balik ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa melalui pintu masuknya. 


Tempoh jualan itu berlangsung sehingga 23 Julai 2024, manakala bagi perjalanan segera tarikh tutupnya dilanjutkan sehingga 30 Jun 2025.


Kata syarikat penerbangan itu, penumpang boleh menikmati tawaran tambang kelas perniagaan untuk pengalaman perjalanan premium. 


“Penumpang akan memperoleh elaun daftar masuk jika bagasi melebihi 40 kilogram, dua elaun tambahan bagi setiap 7 kilogram bagasi kabin dan pemilihan tempat duduk percuma, 


“Mereka juga diutamakan semasa pendaftaran, pengendalian bagasi, serta diberi akses ke Golden Lounge eksklusif syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1,’’ ujarnya. 


Kata Malaysia Airlines, penumpang boleh memanfaatkan diskaun tambahan 5% sehingga 23 Julai bagi tiket penerbangan dibeli di web rasmi. 


Selain itu, pembelian tiket penerbangan di aplikasi mudah alih pula boleh menikmati diskaun itu sehingga 31 Ogos 2024.


Sementara itu, bagi penumpang kelas ekonomi juga boleh memanfaatkan tawaran itu, termasuk diskaun 10% atas pembelian berkas sampingan seperti berkas nilai, berkas premium dan berkas Trio Pengembara MH. 


“Sama ada anda sedang meneroka khazanah domestik atau meneroka hab antarabangsa, penumpang boleh pilih daripada pelbagai destinasi dalam rangkaian global Malaysia Airlines, semuanya sambil menikmati keselesaan dan kemudahan yang kami tawarkan,’’ kata syarikat penerbangan itu.  - DagangNews.com