Malaysia Airports kenal pasti 17 lagi syarikat penerbangan berpotensi beroperasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airports kenal pasti 17 lagi syarikat penerbangan berpotensi beroperasi di Malaysia

Turkmenistan Airlines antara lima syarikat penerbangan yang memulakan operasi di Malaysia pada dua bulan pertama 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb - Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) telah mengenal pasti 17 lagi syarikat penerbangan berpotensi dari tujuh wilayah berbeza untuk beroperasi di negara ini.

 

Perkembangan ini setelah lima lagi syarikat penerbangan antarabangsa memulakan operasi di Malaysia pada Januari dan Februari 2024 yang menandakan permulaan baik kepada tahun baharu.

 

Tambahan terkini ialah Air Macau (NX), Turkmenistan Airlines (T5) Loong Air (GJ) dan Iraqi Airways (IA) yang mempunyai penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

Satu lagi syarikat ialah flydubai (FZ) yang menyediakan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dari Dubai (DXB).

 

Pertambahan senarai syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA menawarkan lebih banyak pilihan sambungan kepada pelancong yang mengukuhkan kedudukan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan di rantau ini.

 

Air Macau menyediakan perkhidmatan empat kali seminggu dari Macau; Loong Air menawarkan penerbangan tiga kali seminggu dari Hangzhou; Turkmenistan Airlines menyediakan perkhidmatan dua kali seminggu dari Ashgabat dan Iraqi Airways meneruskannya laluan perkhidmatan mingguan ke Baghdad.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom berkata, Malaysia Airports telah menyaksikan peningkatan ketara dalam trafik udara berikutan inisiatif pembangunan laluan strategik pasca pandemik yang proaktif.

 

mahb ros
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Mohamed Rastam Shahrom

 

“Dengan menganjurkan Routes Asia sekali lagi tahun ini, kami menyasarkan untuk menarik syarikat penerbangan baharu untuk memulakan operasi ke Malaysia dan menggalakkan yang lain untuk memperkenalkan laluan baharu atau kembali ke negara ini.

 

"Berlangsung di Langkawi pada penghujung Februari, Routes Asia ialah platform untuk memupuk kerjasama dan meneroka peluang baharu dalam rantau Asia-Pasifik.

 

“Sepanjang tahun ini dan seterusnya, kami telah mengenal pasti 17 syarikat penerbangan berpotensi dari tujuh wilayah berbeza untuk beroperasi di Malaysia,” kata Mohamed dalam kenyataan media hari ini.

 

Pada Januari 2024, rangkaian lapangan terbang tempatan yang dikendalikan oleh Malaysia Airports merekodkan 6.9 juta jumlah pergerakan penumpang, mencecah 83% daripada paras 2019.

 

Trafik antarabangsa merangkumi 3.8 juta pergerakan penumpang, manakala sektor domestik menyumbang 3.1 juta pergerakan penumpang. 

 

Pertumbuhan berterusan untuk trafik antarabangsa sebahagiannya didorong pengecualian visa 30 selama 30 hari kepada warga China dan polisi bebas visa 15 hari untuk rakyat Malaysia yang melawat China, ditambah dengan 25 penerbangan mingguan tambahan oleh syarikat penerbangan rakan kongsi.

 

Selain pengenalan syarikat penerbangan baharu, syarikat penerbangan seperti China Eastern Airlines (MU) mula mengendalikan penerbangan empat kali seminggu dari Beijing (PKX) manakala Etihad Airways meningkatkan kekerapan perkhidmatannya daripada harian kepada dua kali sehari.

 

Firefly juga memperkenalkan penerbangan sewa khas dari Tawau ke Nanjing dengan penerbangan tiga kali seminggu.

 

Pada akhir Januari, sektor domestik mengalami peningkatan dalam faktor beban purata melepasi 80%.

 

Peningkatan ini didorong oleh pertambahan aktiviti pelancongan semasa perayaan Tahun Baharu Cina, yang bertepatan dengan cuti sekolah.

 

Secara keseluruhan, lapangan terbang tempatan memainkan peranan penting dalam prestasi Kumpulan untuk Januari 2024, menyumbang 69% daripada jumlah pergerakan penumpang yang berjumlah 10.1 juta penumpang.

 

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) di Turki, jumlah pergerakan penumpang terus mencecah melebihi paras 3 juta pada 3.2 juta penumpang yang melepasi paras 2019 sebanyak 14.2%. 

 

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.7 juta dan 1.5 juta penumpang.

 

Pegasus melancarkan perkhidmatan antarabangsa baharu ke Zagreb, pintu masuk pertama di Croatia untuk rangkaian SAW dengan penerbangan dua kali seminggu.- DagangNews.com