Malaysia Airports rugi RM320 juta pada Q3 | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airports rugi RM320 juta pada Q3

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencatatkan kerugian bersih sehingga RM319.72 juta pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding keuntungan bersih yang diraih tempoh sama tahun lalu, RM197.87 juta. 

 

Ini sekali gus menyaksikan kerugian bersih syarikat itu bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20) bernilai RM431.17 juta berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu, RM507.53 juta.

 

Bagaimanapun, MAHB berkata, usaha penjimatan kos telah mendorong kumpulan syarikat mencatatkan jumlah kos menguncup sebanyak 31.5% atau RM708.9 juta. 

 

Kata kumpulan syarikat itu, impak pandemik COVID-19 yang berpanjangan telah mencetuskan 65.5% kemerosotan dalam jumlah trafik sehingga hari ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh, pihaknya komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran kargo di rantau ASEAN. 

 

“Dengan pertumbuhan jumlah kargo, kami menyasarkan ketersambungan penerbangan yang lebih baik menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan laluan baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan, penggunaan ‘belly space’ serta kapasiti kapal terbang.

 

datuk shukrie
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh


 

“Kami berhasrat untuk menggandakan jumlah kargo terkini kepada 1.4 juta tan metrik menjelang 10 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Bagi MAHB, trafik domestik Malaysia beransur pulih, mencatatkan jumlah trafik 4.2 kali lebih tinggi pada September sejak sekatan perjalanan antara negeri ditarik pada Jun 2020 sejajar pemulihan domestik global yang lebih cepat berbanding perjalanan antarabangsa. 

 

Bagi tempoh 9M20, trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) menyaksikan penurunan yang berkurangan sebanyak 53.5% dengan 12.6 juta pergerakan penumpang. 

 

Jelas MAHB, ISG berterusan menunjukkan momentum pemulihan dengan permintaan tinggi bagi perjalanan domestik dan antarabangsa. 

 

Menjelang tahun hadapan, MAHB menjangkakan faktor pemangkin lain yang akan melonjakkan pemulihan trafik penumpang adalah dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur. 

 

Ini terutamanya melibatkan negara-negara di Asia Pasifik. 

 

Terdapat sesetengah negara yang mula berbincang untuk menyelaraskan proses saringan dan kuarantin. 

 

Pendekatan ini dijangka memberi kesan limpahan kepada perjalanan udara domestik, tetapi meningkatkan pergerakan sektor antarabangsa, kata MAHB. -  Dagangnews.com