Malaysia Airports sumbang RM35,000 barangan keperluan harian sempena Aidil Adha | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airports sumbang RM35,000 barangan keperluan harian sempena Aidil Adha

MOHD SHUKRIE MOHD SALLEH, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports berucap pada majlis penyampaian sumbangan sempena Aidil Adha di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini.

 

SEPANG 3 Ogos – Malaysia Airports menyumbang sebanyak RM35,000 berupa barangan keperluan harian bagi membantu 55 buah keluarga yang terpilih yang bermastautin di Kampung Labu Lanjut, Sepang.

Penyampaian simbolik sumbangan itu telah diadakan di dalam kawasan masjid tengahari tadi dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Majlis tersebut menyaksikan lima wakil dari lima buah keluarga menerima sumbangan bantuan tersebut yang dianjurkan di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA iaitu sebuah masjid di bawah pengelolaan Malaysia Airports.

Di kesempatan yang sama, bersempena sambutan Aidiladha baru-baru ini, turut diagihkan dalam majlis yang sama adalah daging korban yang telah siap disembelih dan diproses di Giching dan diedarkan kepada penerima yang sama.

Baki sumbangan akan diserahkan kepada 50 penerima yang lain di kediaman mereka di kampung tersebut oleh warga kerja Malaysia Airports. Kampung Labu Lanjut dipilih berikutan lokasinya yang terletak paling hampir dengan lokasi ibu pejabat Malaysia Airports di Sepang, Selangor.

mab
MOHD SHUKRIE MOHD SALLEH (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada penduduk Kampung Labu Lanjut, Sepang di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, selain mengukuhkan lagi jalinan hubungan ceria yang telah sekian lama terbina di antara komuniti lapangan terbang dan setempat, sumbangan ini telah memberi peluang untuk Malaysia Airports memperluaskan lagi inisiatif tanggungjawab korporat di bawah payung Airport@Community.

"Kami turut berpeluang menyumbang barangan keperluan harian kepada komuniti yang layak di sekitar Sepang. Diharapkan agihan daging korban serta sumbangan yang diberikan pada hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli-ahli komuniti yang amat terkesan akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda negara kita”, tambah beliau lagi.

Selain Mohd Shukrie, majlis sumbangan tersebut turut disempurnakan dengan kehadiran pihak pengurusan Malaysia Airports yang lain serta wakil daripada Pejabat Operasi Agihan Daerah Sepang Lembaga Zakat Selangor dan juga Ketua Kampung Labu Lanjut. - DagangNews.com