Malaysia ajak negara luar datang teliti proses sawit | DagangNews Skip to main content

Malaysia ajak negara luar datang teliti proses sawit

Sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Malaysia menjalankan langkah terbuka dengan mengajak negara-negara luar untuk datang ke negara ini bagi menyaksikan pemprosesan sawit dengan lebih teliti.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Willie Mongin berkata, langkah itu adalah salah satu daripada usaha pihaknya untuk menyelesaikan isu kempen anti sawit yang dijalankan negara-negara Eropah.

"Kita sentiasa terbuka dengan mempelawa seluruh negara Kesatuan Eropah (EU) supaya datang sendiri ke negara kita supaya mereka boleh melihat sendiri bagaimana proses penanaman dan bagaimana cara pemprosesan sawit.

"Kita juga sedia untuk memberikan mereka panduan sebab tiada apa yang kita sembunyikan untuk melestarikan industri sawit kita," katanya di Dewan Negara hari ini.

Jawapan itu diberikan terhadap pertanyaan Senator Datuk Razali Idris mengenai usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkasa eksport agro-komoditi serta langkah MPIC bagi menangani kempen anti sawit dalam kalangan negara anggota EU.

Willie Mongin
Willie Mongin

 

Tambah beliau lagi, pihak kementeriannya juga telah melaksanakan pelbagai langkah promosi melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan kebolehpasaran produk sawit ke negara-negara EU.

Usaha promosi tersebut adalah bertujuan untuk menangani persepsi negatif terhadap industri sawit negara terutamanya dalam aspek kemampanan selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Baca: Peruntukan RM30 juta jayakan slogan 'Sawit Anugerah Tuhan'

Menurut beliau, aktiviti promosi itu turut melibatkan kerjasama daripada pejabat kedutaan Malaysia di Eropah khususnya bagi perkara yang melibatkan perhubungan antara kerajaan (G2G) serta penglibatan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam aspek pemasaran.

"Malaysia telah mengadakan kerjasama khusus dalam bidang penyelidikan, kemampanan, pekebun kecil contohnya, dengan negara Perancis, Belanda dan United Kingdom (UK).

"Selain itu, perbincangan berterusan bersama pihak berkepentingan di EU juga giat dijalankan bagi menyelesaikan isu persepsi negatif terhadap minyak sawit menerusi misi ekonomi dan promosi minyak sawit ke negara-negara EU," ujarnya. - DagangNews.com