Malaysia akan hadapi cabaran penggubalan dasar ekoran kerajaan parti berlainan ideologi, kata Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Malaysia akan hadapi cabaran penggubalan dasar ekoran kerajaan parti berlainan ideologi, kata Fitch Solutions

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 April - Walaupun risiko terhadap kesinambungan dasar telah berkurangan berikutan peralihan yang lancar kepada kerajaan gabungan pimpinan Pakatan Harapan (PH), firma Fitch Solutions kekal menjangkakan cabaran terhadap penggubalan dasar-dasar negara.

 

Penyelidikan Risiko Negara dan Industri Fitch Solutions mengekalkan skor Indeks Risiko Politik Jangka Pendek (STPRI) untuk Malaysia pada 72.9 (daripada 100).

 

Dalam laporan terbaharunya, Fitch Solution berkata, Kerajaan Perpaduan terdiri daripada pelbagai parti dengan ideologi yang pelbagai, boleh membawa kepada kebuntuan dasar dan momentum reformasi yang perlahan.

 

Fitch Solutions berkata ia terus melihat kemungkinan cabaran dalam penggubalan dasar pada suku akan datang.


 

Fitch Solutions Country Risk and Industry Research

 


Firma itu berkata penggubalan dasar di Malaysia secara relatifnya tidak terbeban sejak kerajaan gabungan pimpinan PH baharu mula berkuasa pada Disember 2022.

 

“Namun, ia masih harus dilihat jika kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang masih di peringkat awal tempoh lima tahun, akan dapat merangka dan melaksanakan reformasi ke atas perkara-perkara yang lebih berbaur politik dengan berkesan seperti era Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum dikalahkan pada pilihan raya umum 2018.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan skor STPRI Malaysia tidak berubah pada 72.9 (daripada 100) buat masa ini, yang masih lebih rendah daripada markah 75.6 pada April 2018,” katanya.

 

Fitch Solutions berkata perjalanan lancar Bajet 2023 negara tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa proses penggubalan dasar di Malaysia telah bertambah baik dengan ketara di bawah kerajaan baharu.

 

Anwar yang juga memegang jawatan menteri kewangan, mengumumkan bajet RM386.1 bilion pada 24 Februari lalu, dan bajet itu kemudiannya diluluskan pada peringkat dasar dengan undi suara majoriti pada 9 Mac.

 

“Bagaimanapun, premis bajet 2023 adalah sama seperti bajet sebelum ini yang diumumkan pada Oktober oleh kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

“Yang penting, bajet itu tidak memperkenalkan sebarang reformasi fiskal atau cukai besar yang boleh dilihat sebagai perbalahan politik atau sosial.

 

“Sebagai contoh, kerajaan tidak mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada 2018. Malah Anwar memberitahu Parlimen pada 14 Mac bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula GST dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” katanya.

 

Fitch Solutions berkata terdapat tanda-tanda baru bahawa kerajaan perpaduan, yang terdiri daripada pelbagai pihak, boleh menghadapi kebuntuan dasar di masa depan disebabkan perbezaan ideologi.

 

Firma itu berkata ia percaya bahawa pertimbangan berasaskan kaum mungkin akan terus membimbing dasar di Malaysia, walaupun PH sebelum ini secara rutin menolak dasar keutamaan etnik, memihak kepada dasar berasaskan keperluan.


 

parafrasa

 


“Pilihan raya negeri akan datang bakal menyaksikan PH dan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) bertanding di enam negeri. PH kini memegang Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang kebanyakannya negeri Melayu yang lebih miskin, berada di bawah kepimpinan PN.

 

"Kemenangan jelas oleh PN boleh memberi tekanan kepada kerajaan campuran untuk melaksanakan lebih banyak dasar pro-Melayu bagi meningkatkan sokongan dalam kalangan kumpulan teras ini," katanya. - DagangNews.com