Malaysia akan terus perjuang kesaksamaan akses vaksin - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia akan terus perjuang kesaksamaan akses vaksin - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar ucapan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN-US ke-9 ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada 26 Oktober 2021. 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt - Malaysia akan terus memperjuangkan akses vaksin yang adil, mampu milik dan saksama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

 

Beliau berkata, meskipun secara purata di peringkat global kes dan kematian COVID-19 semakin menurun, negara ini tidak seharunya berasa selesa.

 

“Ketika banyak sekatan dilonggarkan, usaha perlu diteruskan untuk mengekang pandemik itu. Vaksinasi terbukti menjadi kaedah paling berkesan bagi membasminya,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-9 yang diadakan secara maya pada Selasa.

 

Presiden AS, Joe Biden turut serta dalam mesyuarat yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan. Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

 

Perdana Menteri turut memuji Pentadbiran Biden kerana memberi perhatian serius terhadap wabak COVID-19, baik di peringkat domestik mahupun di persada antarabangsa dan pembabitan aktif negara itu dengan pertubuhan antarabangsa.

 

“Berhubung perkara ini, Malaysia memuji langkah  AS pada Sidang Kemuncak Global COVID-19 baru-baru ini yang berikrar memberikan bantuan tambahan sebanyak 500 juta dos vaksin Pfizer kepada negara berpendapatan rendah menjelang 2022.

 

“Saya harap ia akan banyak membantu negara anggota ASEAN mempercepatkan kempen vaksinasi kebangsaan mereka,” katanya, lapor Bernama.

 

 

PM
ISMAIL Sabri Yaakob bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Datuk Saifuddin Abdullah pada Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN-US ke-9 ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada 26 Oktober 2021. 

 

 

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai keperluan menyambung jurang digital bagi memastikan kesaksamaan semua dalam mengejar pemulihan dan kemakmuran sosioekonomi, terutama ketika aspek digital sudah begitu pantas menjadi suatu norma.

 

Ismail Sabri berkata, penerimaan Kenyataan Pemimpin ASEAN-AS mengenai Pembangunan Digital dan Strategi Bersepadu mengenai Revolusi Industri Keempat, hari ini adalah tepat pada masanya.

 

Berdasarkan dokumen ini katanya, ASEAN dan AS perlu membangunkan segera inisiatif bagi mendukung dan mengukuhkan prasarana serta transformasi digital
ASEAN.

 

“Malaysia sudah bersedia untuk mendukung usaha ini menerusi program MyDIGITAL dan Pelan Ekonomi Digital Malaysia (2021-2030).

 

Ismail Sabri berkata, Cybersecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, akan mengatur  Pembangunan Profesional Keselamatan Digital dan Pembelajaran Berterusan ASEAN bertujuan mengukuhkan kemampuan keselamatan siber bagi membantu menangani ancaman siber di rantau ini sambil menambah, Malaysia berharap AS turut menyokong usaha ini. - DagangNews.com