Malaysia akan terus suara pendirian terhadap isu antarabangsa - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Malaysia akan terus suara pendirian terhadap isu antarabangsa - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Malaysia tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan pandangan, bantahan atau pendirian berkecuali melibatkan isu antarabangsa seperti penindasan, ketidakadilan, kekejaman serta tindakan tidak berperikemanusiaan selari dengan kedudukan negara dalam menggalas tanggungjawab sebagi ahli keluarga dunia.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip keamanan antara negara dan memilih untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan secara aman berbanding menggunakan tenaga ketenteraan.

 

"Justeru, Malaysia akan terus merintis dasar luar yang pragmatik, bebas, berprinsip dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, bersandarkan nilai keamanan, keadilan serta kesaksamaan.

 

"Kami akan terus menghormati kebebasan, kedaulatan dan integriti kawasan negara lain, selain mengamalkan prinsip berkecuali dalam hal ehwal dalaman negara lain," katanya ketika berucap pada pelancaran Kerangka Dasar Luar di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

 

Mengulas mengenai kerangka berkenaan, Ismail Sabri berkata, tema utama 'Focus In Continuity' menyatakan keutamaan Malaysia dalam menghadapi pasca COVID-19 dunia.

 

Perdana Menteri yakin bahawa kerangka tersebut amat berguna kepada diplomat Malaysia dan pihak berkepentingan lain.

 

pms

 

Beliau berkata, kerangka itu juga menyampaikan pendirian dasar luar dengan jelas kepada Keluarga Malaysia di samping rakan-rakan sama ada dekat atau jauh.

 

“Melalui sub-tema ‘Focus’, rangka kerja ini mengiktiraf cabaran utama yang melanda kita dan dunia umum serta mengenal pasti trend global yang semakin meningkat naik manakala ‘Continuity' pula berfungsi sebagai pendirian jelas kepada prinsip-prinsip dasar asing negara.

 

“Selain itu, ia juga menyatakan isu yang harus diberi keutamaan dalam jangka masa pendek.

 

“Perkara jelas ini akan menjadi peringatan dan bimbingan kepada pengamal hal ehwal luar Malaysia bahawa tanpa mengira apa yang berlaku di rantau ini atau dunia, prinsip asas kekal konsisten dan tidak berubah,” jelasnya. - Dagangnews.com