Malaysia bakal jadi pengeluar utama gas asli global, menurut GlobalData | DagangNews Skip to main content

Malaysia bakal jadi pengeluar utama gas asli global, menurut GlobalData

KUALA LUMPUR 28 Julai – Malaysia dijangka menyumbang kira-kira 12% atau 3.1 bilion kaki kubik (bfc) daripada keseluruhan keluaran gas asli global pada 2025 berdasarkan projek penerokaan pesisiran pantai yang telah dirancang dan diumumkan bakal memulakan operasi antara tahun 2021 dan 2025, menurut firma data dan analitik GlobalData.

 

Dalam laporan terbaharunya GlobalData berkata, sebanyak 2.0 bcf keluaran gas asli di Malaysia in 2025 adalah diunjurkan daripada projek-projek yang dirancang dengan pelan pembangunan yang sudah dikenal pasti, manakala 1.0 bfc lagi dijangka daripada projek yang diumumkan peringkat awal dimana masih dalam kajian konsep dan dijangka memperoleh kelulusan untuk dibangunkan.

 

“Sejumlah 19 projek gas asli dijangka memulakan operasi di Malaysia antara tahun 2021-2025.

 

Daripada jumlah tersebut, Kasawari, Jerun dan B14 adalah antara projek utama yang dijangka secara terkumpul bakal menyumbang kira-kira 50% keluaran gas asli di Malaysia pada 2025,” kata GlobalData dalam laporan Isnin lalu.

 

Penganalis Kanan di GlobalData, Effuah Alleyne berkata, industri minyak dan gas telah menyaksikan trend berubah ke arah keperluan untuk kelestarian tenaga, disokong oleh impak daripada pandemik dan kerajaan di seluruh dunia berusaha mengekang isu-isu ekonomi dan alam sekitar.

 

“Tema utama termasuk tenaga boleh diperbaharui, penyahkarbonisasi dan tenaga bersih bermakna projek gas asli akan memberi peluang-peluang bernilai tinggi bagi tempoh pendek hingga pertengahan,” kata beliau.

 

globaldata

GlobalData mengenal pasti Iran sebagai negara kedua terbesar di dunia dalam keluaran gas asli iaitu sebanyak 2.70 bfc pada 2025 atau kira-kira 11% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran gas global. Ini disusuli Qatar dengan 2.67 bfc.

 

Antara syarikat-syarikat utama iaitu Qatar Petroleum, National Iranian Oil Co, dan Royal Dutch Shell Plc menerajui pengeluaran gas asli luar pesisir tertinggi iaitu masing-masingnya 2.6 bcf, 2.4 bcf dan 1.2 bcf, pada 2025 berdasarkan projek yang dirancang dan telah diumumkan, kata GlobalData. – DagangNews.com