Malaysia beli peluru berpandu Karaok dari Turkiye, kontrak AS$20 juta dimeterai dalam masa terdekat | DagangNews Skip to main content

Malaysia beli peluru berpandu Karaok dari Turkiye, kontrak AS$20 juta dimeterai dalam masa terdekat

Sistem peluru berpandu Karaok buatan Turkiye.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pengeluar sistem persenjataan dari Turkiye, Roketsan telah memenangi kontrak untuk menjual sebanyak 18 unit pelancar peluru berpandu antikereta kebal Karaok kepada Malaysia.

 

Ini adalah kontrak eksport pertama untuk sistem Karaok yang mana difahamkan pengesahan rasmi mengenainya akan dibuat pada peringkat kerajaan dalam masa terdekat.

 

Kontrak perolehan bernilai AS$20 juta ini menyaksikan Roketsan mengalahkan tiga pesaing untuk memenangi kontrak Malaysia termasuk dari Korea Selatan dan China. 

 

Karaok merupakan sistem peluru berpandu antikereta kebal jarak dekat (ATGW-SR) yang boleh dioperasikan pada waktu siang dan malam kerana mempunyai panduan inframerah.

 

Karaok
Malaysia menjadi negara pengguna pertama sistem Karaok.

 

Senjata ini boleh memusnahkan perisai dan kubu pertahanan pada jarak 2.5 kilometer.

 

Dengan beratnya kurang daripada 16 kilogram (kg), sistem itu menggabungkan kepala peledak tandem penembus perisai.

 

BACA JUGA: Malaysia sedia beli peralatan ketenteraan daripada Turkiye - PM Anwar

 

Karaok ialah peluru berpandu antikereta kebal yang kemampuannya setara dengan peluru berpandu FGM-148 Javelin buatan Amerika Syarikat.

 

FGM-148 Javelin mendapat reputasi tinggi kerana keberkesanan penggunaannya oleh Ukraine melawan pencerobohan Rusia.

 

Javelin
Sistem FGM-148 Javelin.

 

Kontrak permulaan ini adalah bersama 108 unit kebuk peluru berpandu simulator untuk latihan luar dan dalaman serta peralatan ujian.

 

Sistem Karaok ini untuk menggantikan sistem Metis-M buatan Rusia yang kini dipasang pada kenderaan pacuan empat roda G-Wagon. 

 

Tentera Darat menggunakan Metis-M sejak tahun 2001 apabila membeli 24 unit pelancar bersama 100 peluru berpandu.

 

Metis-M merupakan senjata yang sangat baik, malah berkesan dalam beberapa pertempuran semasa digunakan tentera Rusia dan pengguna lain.

 

Metis
Anggota Tentera Darat mengendalikan pelancar Metis-M.

 

Selain Metis-M, Tentera Darat juga mempunyai peluru berpandu antikereta kebal jarak sederhana iaitu Bakhtar Shikan buatan Pakistan.

 

Apabila diterima nanti, senjata Karaok ini akan dipasang pada kenderaan pacuan empat roda pelbagai guna Cendana Auto buatan tempatan.

 

Roketsan mula membangunkan Karaok pada 2016 sebelum dipamerkan buat pertama kali semasa pameran IDEF di Istanbul tiga tahun kemudian.

 

Karaok berjaya melaksanakan ujian tembakan berpandu pertamanya pada 2020 dan memasuki inventori tentera Turki pada 2022 dengan perolehan sebanyak 300 sistem pelancar. - DagangNews.com