Malaysia capai 52.50% pendaftaran vaksinasi | DagangNews Skip to main content

Malaysia capai 52.50% pendaftaran vaksinasi

Pendaftaran vaksin COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Malaysia mencatatkan 52.50% jumlah pendaftaran kumulatif vaksinasi setakat 7 Jun 2021.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, peratusan yang dicatatkan itu mewakili jumlah keseluruhan pendaftaran nasional sebanyak 12.7 juta.

 

Dalam laporan harian pendaftaran berkenaan, empat buah negeri mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi melebihi satu juta iaitu Selangor (3.3 juta), Johor (1.5 juta), Sarawak (1.2 juta) dan Kuala Lumpur (1.0 juta).

 

Peratusan yang dicatatkan itu menyaksikan peningkatan berbanding 52.4% pada 6 Jun 2021.

 

.

 

Dalam perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula, seramai 1.13 juta individu telah melengkapkan dua dos vaksin di negara ini setakat 6 Jun 2021.

 

Sementara itu, seramai 2.4 juta individu telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua sebanyak 3.57 juta.

 

.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula dengan fasa pertama pada Februari hingga April lalu yang melibatkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan.

 

Program berkenaan diteruskan dengan fasa kedua bermula April hingga Ogos melibatkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya.

 

Bagi fasa ketiga yang melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara telah dimulakan pada bulan lalu hingga Februari 2022.

 

Fasa berkenaan meletakkan sasaran seramai 13.7 juta atau lebih untuk divaksinasi. - DagangNews.com