Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jan - Aliran keluar asing pada 2021 susut kepada RM3.3 bilion berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM22.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut laporan strategi CGS-CIMB, bagaimanapun, ia menandakan 4 tahun berturut-turut yang menyaksikan jualan bersih oleh pelabur asing bermula pada 2018.
"Pelabur asing berubah menjadi penjual bersih sebanyak RM1.14 bilion ekuiti Malaysia pada Disember 2021 selepas 4 bulan berturut-turut membeli bersih ekuiti.
"Ini meningkatkan aliran keluar asing bersih terkumpul sejak 2010 kepada RM35 bilion," katanya dalam laporan berkenaan.
Malah, firma itu juga mendapati Bursa Malaysia mencatat prestasi terburuk dalam kalangan pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) pada 2021 dan merupakan satu-satunya pasaran yang merekodkan pulangan negatif sebanyak -3.7%.
Pada Disember, ia muncul sebagai pasaran kedua terbaik dalam kalangan MIST selepas Thailand.
Secara keseluruhan, indeks utama FBM KLCI berkembang 54 mata atau 3.5% bulan ke bulan pada Disember 2021 untuk ditutup kepada 1,568 mata (berbanding 1,514 mata pada November).
Ia didorong oleh aktiviti pembelian saham dan juga reaksi positif pasaran terhadap keputusan kerajaan pada 30 Disember lalu untuk melanjutkan pengecualian cukai bagi pendapatan sumber asing bagi individu dan pendapatan dividen sumber asing bagi korporat sehingga 31 Disember 2026.
Pada masa sama, Kementerian Kewangan juga bercadang mengembalikan semula had duti setem yang lebih tinggi sebanyak RM1,000 berkuat kuasa 1 Januari 2022 (berbanding cadangan sebelumnya untuk memansuhkan had duti), yang dilihat akan meningkatkan daya saing pasaran saham Malaysia dari segi kos transaksi.
Bagaimanapun, kenaikan itu sebahagiannya diimbangi dengan kebimbangan mengenai impak bencana banjir kepada pendapatan korporat dan kesan varian Omicron terhadap pelan pembukaan semula sempadan.
Pada Disember, ia menyaksikan volum dagangan harian jatuh 19% bulan ke bulan kepada 2.95 bilion unit manakala purata dagangan harian susut 31% bulan ke bulan kepada RM2.04 bilion.
CGS-CIMB menjangkakan pelabur akan berdagang dengan berhati-hati apabila melangkah ke tahun 2022 kerana wujud ketidaktentuan dalam pasaran.
Antaranya disebabkan varian Omicron, pelaksanaan semula jualan pendek setengah hari, aliran keluar asing disebabkan langkah diambil Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), pembalikan rangsangan fiskal, dasar monetari yang ketat dan risiko terhadap pendapatan korporat disebabkan cukai lebih tinggi serta masalah banjir.
Selain itu, katanya, pelabur juga akan memerhati dengan rapat risiko dari segi politik dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.
"Bagaimanapun, kelemahan ini boleh dihadkan oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh apabila sempadan antarabangsa dibuka semula berikutan penarikan semula larangan rentas negeri pada 11 Oktober lalu, suntikan kecairan tambahan yang disediakan dana institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan berikutan penamatan pelbagai skim pengeluaran di bawah pakej rangsangan yang diumumkan pada 2020 dan 2021.
"Oleh itu, kami mengulangi unjuran sasaran KLCI pada 1,612 mata menjelang akhir tahun ini," jelasnya. - DagangNews.com