Malaysia catat aliran keluar ekuiti sebanyak RM1.35 bilion pada Jun - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat aliran keluar ekuiti sebanyak RM1.35 bilion pada Jun - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Malaysia mencatatkan aliran keluar ekuiti sebanyak RM1.35 bilion pada Jun lalu selepas jualan asing berterusan untuk bulan ke-10 berturut-turut, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma itu berkata, ia telah meningkatkan jualan bersih pelabur asing kepada RM4.19 bilion setakat tahun ini, membalikkan belian bersih RM4.4 bilion pada 2022.

 

Katanya, pegangan asing bagi saham tempatan di Bursa Malaysia telah jatuh di bawah 20% kepada 19.9% pada 30 Jun, paras terendah baharu sejak krisis kewangan global.

 

Firma itu berkata, berkata jualan Jun hampir berlaku setiap hari dalam 19 daripada 20 hari dagangan.

 

Bagi institusi domestik, firma itu berkata, mereka membeli RM1.03 bilion pada Jun berbanding RM710 juta pada Mei yang meningkatkan belian bersihnya untuk enam bulan pertama 2023 kepada RM3.73 bilion.

 

Pelabur runcit membeli RM310 juta berbanding hanya RM20 juta pada Mei, yang menjadikan belian bersih tahun sehingga kini kepada RM460 juta.

 

"Penyertaan dagangan pelabur asing adalah lebih tinggi bulan ke bulan pada 33%, berbanding 31.1% pada Mei, dan institusi domestik adalah 39.9% berbanding 43.1% pada Mei dan runcit ialah 27.2%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, di seluruh ASEAN, ekuiti Indonesia mencatat jualan asing terbesar pada Jun pada AS$293 juta, diikuti Malaysia pada AS$291 juta dan Thailand pada AS$263 juta.

 

Untuk enam bulan pertama, Thailand mencatatkan aliran keluar asing terbesar sebanyak AS$3.11 bilion, diikuti Malaysia sebanyak AS$930 juta dan Filipina sebanyak AS$470 juta.

 

"Bagi Malaysia, jumlah jualan bersih asing selama 12 bulan hingga Jun 2023, sebagai peratusan permodalan pasaran, adalah 0.4%," katanya.

 

Firma itu menamakan Public Bank Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Hong Leong Bank Berhad sebagai lima saham teratas di Malaysia yang dijual oleh pelabur asing pada Jun.

 

Belian teratas pasaran ialah Malayan Banking Berhad, Gamuda Berhad, YTL Corp Berhad, Westports Holdings Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad. - DagangNews.com